Lelaki disambar buaya ketika cuci tangan di tepi sungai

Lelaki disambar buaya ketika cuci tangan di tepi sungai

Beluran: Seorang lelaki disambar buaya ketika mencuci tangan dan kaki di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2, Beluran, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Rudi Amirrudin, 28, dilaporkan masih hilang susulan kejadian berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, Bilik Kawalan Balai menerima panggilan pada 3.51 petang daripada polis bahawa terdapat seorang mangsa lelaki dilaporkan dibaham buaya di sungai berkenaan.

Menurut saksi, sebelum kejadian, mangsa melakukan aktiviti membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan ladang bersempadan dengan Sungai Rawog.

Semasa berehat, mangsa pergi ke tepi sungai untuk mencuci tangan dan kaki, sebelum secara tiba-tiba seekor buaya muncul dan mengheret mangsa ke dalam sungai.

Mangsa sempat menjerit meminta tolong namun, tidak dapat dibantu oleh kawan mangsa yang juga sama-sama berkerja di kawasan tersebut.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan namun gagal menemui mangsa.

Sementara itu, operasi SAR hari kedua dijalankan dengan kaedah tinjauan di permukaan air bersama agensi lain, bermula pada jam 1 petang, dengan radius satu kilometer di kawasan susur muara sungai.

Bagaimapun, mangsa tetap gagal ditemui.

Operasi pencarian mangsa kemudian ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung semula pada Khamis, kira-kira jam 7 pagi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|