Kota Kinabalu: Pengumuman lantikan Kabinet Negeri baharu menjadi bukti kewibawaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang tidak mudah mengalah, jitu dan tegas.
Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jamain Sarudin berkata, ia turut menunjukkan bahawa beliau tidak dipengaruhi orang luar dan bersedia memberikan pasukan yang lebih berkomitmen.
Katanya, ia sekali gus memperlihatkan barisan Ahli Jemaah Menteri yang dilantik adalah suara Sabah.
“Sebagai Sabahan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin patut berbangga kerana Hajiji telah menggunakan kebijakan berdiplomasi.
“Ia dengan memberikan penghormatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bersetuju menangguhkan rombakan yang sepatutnya (diadakan) sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Beliau dengan bijaksana memimpin dan menjalankan kuasa serta menggunakan prerogatif seorang Ketua Menteri berasaskan perlembagaan dalam melantik anggota Kabinetnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Jamain berkata, perkara itu telah menyedarkan rakyat Sabah dalam membuat keputusan secara majoriti dan menyemai keberanian dikalangan masyarakat tempatan keseluruhannya.
“Beliau mempunyai pasukan yang merangkumi hampir ke semua kaum, semua agama dan inklusif dengan kepelbagaian ideologi politik yang tidak menghalang penyatuan rakyat Sabah.
“Ia sekali gus menyelesaikan kemelut yang tidak disukai ileh rakyat dalam waktu yang pantas dan mengelakkan perbalahan politik antara Sabah dan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan Hajiji sebagai bijak memilih sekutu yang mempunyai misi yang sama, iaitu mengembalikan hak-hak Sabah tanpa perlu terlalu berpolitik yang hanya akan menjerumuskan negeri ini lebih kebelakang.
Tambahnya, ia turut mewujudkan budaya politik yang matang dan lebih terbuka.
-Deasoka