Kurangkan harga bahan mentah, bantu pemilik restoran laksanakan Menu Rahmah – Masiung

Kurangkan harga bahan mentah, bantu pemilik restoran laksanakan Menu Rahmah – Masiung

Kota Kinabalu: Pihak kerajaan diseru untuk turut sama membantu pemilik restoran dan peniaga dalam usaha mereka menyediakan Menu Rahmah bagi mengurangkan kos sara hidup.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, antaranya ialah dengan mengurangkan harga bahan-bahan mentah.

Musli menyerahkan buku hasil karya beliau kepada Masiung pada Program Santai Menu Rahmah di Restoran Pak Mus, Tanjung Aru.

“Menu dan harga yang diberikan agak sesuai, pihak restoran telah membantu untuk melaksanakan Menu Rahmah bagi mengurangkan kos sara hidup.

“Namun, jika pihak kerajaan tidak membantu untuk mengurangkan harga bahan-bahan mentah, saya rasa hasrat kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup tidak akan tercapai.

“Sebagai contoh, harga ayam, telur, sayur dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Santai Menu Rahmah di Restoran Pak Mus, Tanjung Aru, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut turut mencadangkan agar inisiatif penyediaan Menu Rahmah diperluaskan ke kantin universiti-universiti di negara ini.

Katanya, inisiatif seumpama ini dilihat mampu membantu dalam mengurangkan beban yang ditanggung oleh mahasiswa.

“Saya juga ingin menyarankan agar ia bukan sahaja dikembangkan di restoran lain, malahan mungkin boleh dikembangkan di kantin-kantin universiti, sama ada swasta mahupun awam.

“Kerana seperti yang kita sedia maklum, para pelajar bukan sahaja datang daripada bandar tetapi juga luar bandar dan saya rasa mereka turut memerlukan inisiatif seperti ini,” katanya.

Restoran Pak Mus merupakan antara yang terawal menyahut saranan Kerajaan dalam menyediakan Menu Rahmah dengan kepelbagaian menu pada harga RM5 setiap set hidangan.

Pemiliknya, Musli Oli berkata, beliau berbuat demikian sebagai usaha untuk membantu Kerajaan dalam menurunkan kos sara hidup masyarakat setempat.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak kerajaan akan mencari inisiatif untuk membantu peniaga seperti mereka untuk menyeragamkan kos bahan mentah agar mereka dapat meneruskan inisiatif itu dalam jangka masa lama.

“Sebagai contoh, di Semenanjung, kos ayam adalah sekitar RM9.40 sekilo manakala di Sabah ialah RM12.90.

“Ia suatu perbezaan yang ketara, namun kita tetap menawarkan Menu Rahmah pada harga yang sama iaitu, RM5 bagi setiap hidangan.

“Justeru itu, saya berharap agar kos bahan mentah untuk negeri Sabah dan di Semenanjung akan dapat diseragamkan,” katanya.

Restoran Pak Mus menyediakan Menu Rahmah untuk ‘dine in’ setiap hari, bermula jam 10.30 pagi sehingga 2 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|