Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan hasrat baginda untuk memandu di Lebuhraya Pan Borneo yang kini sedang dalam pembinaan di Sabah dan Sarawak.
Baginda turut menzahirkan rasa sukacita terhadap prestasi pelaksanaan Projek Fasa 1 lebuh raya berkenaan yang dimulakan pada 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.
“Adalah menjadi impian Beta untuk memandu menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo ini khusus untuk Beta mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat Beta di pedalaman Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu.
“Program kembara ini sedang dirangka oleh Istana Negara dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” titah baginda ketika menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan juga hendaklah meneruskan projek-projek infrastruktur pengangkutan awam berimpak tinggi bagi meningkatkan ketersambungan dan kemudahsampaian di samping menjana kesan pengganda yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi.
Baginda bertitah, penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia dan lestari terhadap alam sekitar akan terus diberikan fokus.
Sementara itu Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong bertitah, kerajaan juga telah mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak, adalah antara yang telah diputus dan dipersetujui oleh Kerajaan Beta.
“Pada masa yang sama, usaha untuk membangun dan memperkasa ekonomi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak akan terus digiatkan,” titah baginda.
Baginda bertitah, bagi memperkasa pentadbiran undang-undang, pembangunan Kompleks Mahkamah di Sabah dan Sarawak juga wajar diberikan perhatian.
Titah baginda, infrastruktur berkualiti dan perhubungan akses luar bandar akan ditingkatkan menerusi pembinaan jalan luar bandar, jambatan, utiliti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kediaman yang lebih baik.
“Jurang pembangunan ekonomi semua kaum dan etnik termasuk Orang Asli akan terus ditangani bagi melahirkan masyarakat desa yang berdaya tahan dan berdaya saing.
“Tidak ketinggalan juga, dasar perlindungan sosial akan disusun semula bagi memastikan jaminan keselamatan dan perlindungan sosial yang lebih komprehensif dan bersepadu kepada rakyat Beta,” titah baginda.
Baginda bertitah, Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) akan dimantapkan peranannya bagi memberi dimensi baharu kepada landskap perlindungan sosial di Malaysia berdasarkan piawaian antarabangsa.
-Deasoka