Krisis air Sabah: Semua pihak perlu melihat peluang termasuk pembinaan empangan

Krisis air Sabah: Semua pihak perlu melihat peluang termasuk pembinaan empangan

Kota Kinabalu: Krisis bekalan air Sabah bukanlah perkara baru, malah ia telah berlarutan sejak Sabah mencapai kemerdekaan.

Timbalan Ketua Penerangan Keadilan, Razeef Rakimin berkata, Sabah telah melalui beberapa fasa pertukaran pentadbiran kerajaan namun krisis ini masih berlarutan.

“Dalam tempoh dua tahun ini kita mula melihat perkembangan usaha mengatasi krisis ini. Ini termasuklah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 di Tuaran.

“Namun, kebanyakan inisiatif ini hanya penyelesaian jangka pendek hingga sederhana kepada isu kekurangan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, krisis bekalan air ini memberi kesan yang sangat besar kepada rakyat bukan sahaja kepada orang awam malah kepada sektor perniagaan.

Maka, katanya, untuk mengatasi perkara ini kita perlu melihat pelbagai peluang yang ada terutama dengan peningkatan populasi.

“Saya menyambut baik saranan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali untuk membina sebuah empangan di Papar bagi menampung bekalan air serta elektrik di Sabah.

“Ini merupakan inisiatif serampang dua mata kerana kedua-dua isu air dan elektrik merupakan masalah utama di Sabah.

“Kita akui cadangan ini bakal berdepan dengan bantahan dan tentangan penduduk kampung serta aktivis alam sekitar.

“Namun, setelah beberapa kali kajian dibuat oleh pelbagai pihak, kesannya hanya kecil dan kesan jangka masa pendek,” katanya.

Bagaimanapun, Razeef berkata, setelah empangan siap dibina, rakyat Sabah bukan sahaja tidak akan menghadapi masalah bekalan air, malah penambahan stesen jana kuasa elektrik mampu menyelesaikan isu kekerapan ‘blackout’ yang menghantui Sabah sejak berdekad lama.

“Berbanding dengan pemimpin negeri sebelum ini, saya melihat kesungguhan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air di Sabah dengan kadar segera termasuk isu bekalan elektrik dan masalah jalan raya.

“Kerjasama baik antara Ketua Menteri Sabah dengan Perdana Menteri, Datuj Seri Anwar Ibrahim mempermudahkan lagi usaha menyelesaikan masalah yang telah memundurkan Sabah,” katanya.

Terdahulu, dalam lawatan kerja Perdana Menteri ke Sabah pada 31 Mei lalu, beliau telah meluluskan peruntukan RM3 juta bagi pelaksanaan projek penggerudian air bawah tanah dan membuka pusat rawatan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Keesokan harinya, beliau mempengerusikan mesyuarat pasukan khas di Putrajaya bagi menangani masalah bekalan air Sabah dan Kelantan.

Hasil daripada itu, Ketua Menteri Sabah memaklumkan sebanyak RM320.25 juta peruntukan awal telah diluluskan bagi memulakan pelbagai projek berkaitan bekalan air untuk negeri Sabah.

“Ini sebagai bukti pelaksanaan janji yang dibuat Perdana Menteri dalam ucapannya pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Mei lalu untuk memastikan masalah bekalan air dan elektrik di Sabah diselesaikan dengan kadar segera.

“Saya melihat usaha kerajaan negeri kali ini benar-benar serius untuk menyelesaikan masalah yang ada. Ini termasuklah usaha lain seperti operasi besar-besaran mengesan dan memotong penyambungan saluran air haram di kawasan setinggan,” katanya lagi.

Tambahnya, beliau yakin kesan awal dari usaha kerajaan negeri dan persekutuan menangani masalah bekalan air di Sabah akan mula dirasai setelah pembinaan beberapa Loji Rawatan Air selesai.

Jelas beliau, inisiatif bersifat jangka pendek dan sederhana ini perlu disusuli dengan pembinaan empangan yang mempu menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik di Sabah.

“Kerajaan negeri juga perlu mengabaikan pihak pembangkang yang mempolitikkan isu ini sebaliknya fokus kepada penyelesaian masalah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|