Kegigihan Hajiji tangani isu tuntutan Sulu perlu diberi kredit – PERSANTUN

Kegigihan Hajiji tangani isu tuntutan Sulu perlu diberi kredit – PERSANTUN

Kota Kinabalu: Keputusan undang-undang tuntutan waris Sultan Sulu yang memihak kepada Malaysia di Mahkamah Rayuan Paris, Perancis pada Selasa membuktikan kemampuan Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah, pendirian yang jelas daripada Hajiji melalui kerajaan negeri yang menolak tuntutan tersebut mempunyai merit.

Beliau berkata, pengendalian isu tersebut turut memberikan nafas lega kepada rakyat Sabah secara amnya.

“Sebagai rakyat Sabah, kita perlu memberikan kredit kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji dan kerajaan negeri yang telah membuktikan kemampuan dengan adanya kerjasama pihak Kerajaan Persekutuan.

“Ia sekaligus menunjukkan bahawa Hajiji sememangnya seorang Sabahan yang amat komited dalam melaksanakan tugasnya sebagai Ketua Menteri apatah lagi dengan isu yang menggusarkan rakyat seperti ini.

“Jadi tidak menjadi kesalahan kita perlu terus menyokong beliau untuk memimpin negeri Sabah atas kejayaan-kejayaan seumpama ini, ” katanya.

Jelas Najib lagi, beliau turut mengajak orang ramai terutamanya netizen di media sosial supaya tidak lagi terkeliru dengan dakyah songsang yang sering dimainkan pihak tertentu mengenai perkara ini.

“PERSANTUN turut mohonlah kepada pengguna-pengguna laman sosial supaya menilai perkara ini secara positif memandangkan ia merupakan kejayaan bersama sebagai rakyat Sabah.

“Kita perlu menolak anasir-anasir negatif mengaitkan isu ini yang memperlihatkan kelemahan pentadbiran kerajaan kerana ia sama sekali tidak betul dan dengan kejayaan keputusan mahkamah ini, saya berharap orang ramai mula membuka mata terhadap keibawaan Hajiji selaku Ketua Menteri,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 6 Jun lalu, Mahkamah Rayuan Paris telah mengekalkan cabaran Malaysia terhadap keputusan penimbang tara Gonzalo Stampa yang dilantik mahkamah Sepanyol berkenaan kes tuntutan waris Sulu kepada Sabah pada 5 Mei 2020 dengan nilai tuntutan pampasan AS$14.9 bilion.

Bagaimanapun pada Selasa, Malaysia telah menang dalam pertikaian undang-undang di Mahkamah Rayuan Paris yang dilihat membawa kepada pembatalan tuntutan tersebut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|