Ewon terus bantu pembinaan gerai keusahawanan desa Kadamaian

Ewon terus bantu pembinaan gerai keusahawanan desa Kadamaian

Kota Belud: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mengulangi komitmennya untuk terus membantu membina gerai-gerai keusahawanan desa di kawasan Kadamaian bagi memberikan keselesaan kepada para peniaga kecil-kecilan kawasan itu.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pembinaan gerai-gerai keusahawanan desa antara fokus Pelan Induk Pembangunan Kadamaian (2020-2035).

“Pelan ini mencakupi wawasan saya untuk membangunkan Kadamaian berasaskan kepada dua sektor ekonomi utama iaitu pertanian dan pelancongan serta rangkaian kemudahan keusahawan desa.

“Pembinaan gerai-gerai keusahawanan desa yang baru atau penambahbaikan gerai sedia ada bukan sahaja memberikan keselesaan kepada kaum ibu yang berniaga secara kecil-kecilan di tepi-tepi jalan tetapi juga memberi keselesaan kepada para pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gerai dan Tamu Pongindopuan Kg.Rangalau, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Ewon menyampaikan sumbangan touchpoint sebanyak RM20,000 untuk membina kemudahan yang diperlukan para peniaga di gerai itu, antaranya tandas dan saluran paip yang akan dibina secara bergotong-royong.

Gerai dan Tamu Pongindopuan Kg. Rangalau menempatkan seramai 38 peniaga wanita dari kampung itu.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, selain Kg. Rangalau, beliau turut membantu membina Gerai Keusahawanan Desa di 15 buah kampung antaranya di Kg. Piasau, Kg. Gaur, Kg. Melangkap Tiong, Kg. Kelawat Pekan, Kg. Lompios, Kg. Bahaba, Kg. Tambulion, Kg. Tuguson dan Kg. Takulung.

“Kita juga menyalurkan peruntukan untuk menaiktaraf tamu-tamu tradisi di kawasan DUN Kadamaian iaitu Tamu Komuniti Lompios, Tamu Pongindopuan Rangalau, Tamu Sosondoton Piasau, Tamu Tradisi Tambulion, Tamu Layu Nahaba, Tamu Badi Melangkap Tiong dan Tamu Tani Kelawat.

“Saya berharap pembinaan dan penaiktarafan gerai keusahawanan desa dan tamu komuniti ini akan memberi keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung,” katanya lagi.

Kebanyakan peniaga di gerai itu menjual hasil-hasil pertanian, seperti sayur kampung, buah-buahan, beras kampung, makanan tradisional dan kuih muih.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|