KPDN Sabah terus pantau bekalan dan harga barang kawalan

KPDN Sabah terus pantau bekalan dan harga barang kawalan

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah terus komited melaksanakan pemeriksaan premis perniagaan dan tindakan mengawal selia bekalan dan harga barang kawalan.

Ia juga termasuk keperluan asas di setiap peringkat rantaian bagi memastikan keberadaan barang terutamanya bekalan minyak masak, ayam dan telur ayam.

Pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan pemeriksaan ke atas premis di Sabah.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, pemeriksaan itu dijalankan bertujuan untuk membanteras aktiviti menyorok barang kawalan.

Katanya, ia bagi memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan.

“Pemeriksaan keberadaan barang kawalan seperti ayam, telur ayam, dan minyak masak sudah dijalankan di premis-premis tumpuan pengguna di sekitar Kota Kinabalu pada hari ini.

“Kita mendapati bekalan ayam, telur, dan minyak masak ada di pasaran. Anggota Penguatkuasa KPDN Sabah juga akan berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, sepanjang bulan Januari lalu, sebanyak 8,112 premis diperiksa di seluruh negeri dan 139 kes dihasilkan.

Katanya, ia melibatkan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai kompaun sebanyak RM20,700.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah perundangan ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau
kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat pula, ia boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Georgie berkata, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual, setiap individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM50,000 dan penjara 2 tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM25,000.

Katanya, bagi syarikat, ia boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, peniaga yang menyorok barang kawalan dan menyeleweng barang kawalan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya

“Manakala, bagi syarikat, ia boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” tegasnya.

Sehubungan itu, Georgie berkata, KPDN sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ditalian 019-279 4317 dan 019-848 8000 atau melalui Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my serta Call Centre 1-800-886-800.

“Aduan turut boleh dihantar ke email di e-aduan@kpdnhep.gov.my; Ez ADU KPDNHEP atau hadir sendiri ke Pejabat KPDN berhampiran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|