13 sekolah, 2,386 murid dan pelajar terjejas banjir hari ini

13 sekolah, 2,386 murid dan pelajar terjejas banjir hari ini

Kota Kinabalu: Sebanyak 13 sekolah dengan sembilan daripadanya di daerah Beaufort terjejas akibat banjir, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abidin Marjan, berkata tiga sekolah terjejas di Beluran, manakala satu lagi di Tenom.

Keadaan banjir di SM St John, Beaufort.

Katanya, semua sekolah terpaksa ditutup berikutan laluan dan kawasan sekolah dinaiki air.

Penutupan itu katanya menjejaskan seramai 2,386 murid dan pelajar serta 242 orang guru.

“Sekolah yang terjejas di Beaufort ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Jabang, SK Bangkalalak, SK Suasa, SK Lago, SK Lembah Poring, SK Tamalang, SK Bukau, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lian Hwa dan Sekolah Menengah (SM) St John.

“Di Beluran pula, sekolah yang terjejas akibat banjir setakat ini ialah SK Sualok, SK Tagas-Tagas dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol, manakala sebuah sekolah terjejas di Tenom ialah SK Kalang Kanar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebuah daripada sekolah terbabit iaitu SMK Pamol, Beluran juga masih dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|