Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya bantu tingkatkan kesedaran umum

Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya bantu tingkatkan kesedaran umum

Putatan: Pelaksanaan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya penting bagi meningkatkan kesedaran umum mengenai keselamatan jalan raya, terutamanya pada musim-musim perayaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, ia sekali gus memberi peringatan kepada mereka untuk turut peka terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Shahelmey merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya, di Teluk Dumpil, Putatan.

“Berdasarkan statistik yang ada pada bulan Januari ini sahaja, jumlah kes kemalangan jalan raya adalah sebanyak 1,634 kes, manakala jumlah kes kemalangan yang membawa maut adalah sebanyak 20 kes.

“Justeru itu, kita perlu memandang serius mengenai aspek keselamatan jalan raya dan memastikan bahawa kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan yang selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri 2023, di Teluk Dumpil, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pihaknya akan mengadakan kolaborasi dengan pelbagai jabatan dan agensi bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

“Kita akan menganjurkan kempen kesedaran ini secara berterusan dan kepada yang memandang ringan terhadap aspek keselamatan jalan raya ini, kita akan gunakan peruntukan undang-undang bagi memastikan ia diminimakan.

“Selain itu, kita akan berkolaborasi dengan pelbagai jabatan yang berkaitan bagi memastikan kita dapat sentiasa meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya,” katanya.

Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya itu merupakan inisiatif di bawah Kementerian Kerja Raya Sabah melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya.

Penganjurannya merupakan hasil kerjasama beberapa jabatan dan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Bomba, Jabatan Kesihatan, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|