Khidmat kesihatan di Sabah masih di takuk lama – Shahelmey

Khidmat kesihatan di Sabah masih di takuk lama – Shahelmey

Kota Kinabalu: Perkhidmatan kesihatan di Sabah masih berada di takuk lama berikutan keadaan fasiliti dan pakar perubatan yang ketinggalan berbanding di tempat lain.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata kemudahan klinik saja sebahagian besar dalam keadaan usang dan daif.

“Sebanyak 95 atau 84.8 peratus daripada 112 klinik kesihatan dikendalikan Kementerian Kesihatan di Sabah dikenal pasti dalam keadaan usang dan daif.

“Lebih menyedihkan keadaan, sehingga kini masih terdapat banyak klinik yang tiada kemudahan internet yang menyukarkan mereka berfungsi secara efisien,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan, berkata demikian pada perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, malam tadi.

Shahelmey berkata sebanyak 70 peratus
peralatan hospital di Sabah pula berusia lebih 10 tahun atau ‘Beyond Economic Repair.

“Jangka hayat mesin perubatan hendaklah tidak melebihi 10 tahun seiring dengan kemajuan teknologi perubatan.

“Malangnya peralatan perubatan ‘uzur’ ini masih lagi digunakan di Sabah. Kekurangan ini ditambah dengan kekurangan sumber manusia perkhidmatan kesihatan di Sabah,” katanya.

Jelasnya, terdapat lompang kekosongan perjawatan kira-kira 8.82 peratus iaitu 2,494 daripada 28,274 sumber tenaga yang sepatutnya diisi.

Pada 2022, katanya sasaran anggaran negara bagi nisbah doktor kepada penduduk adalah 1:425 tetapi di Sabah nisbahnya ialah 1:872.

Berikutan itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri meminta kepada kerajaan persekutuan agar melaksanakan beberapa perkara bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di Sabah.

Ia termasuk menaik taraf klinik kesihatan yang usang dan daif dan menaik taraf hospital melalui penambahan jumlah doktor pakar, bilangan hospital berstatus negeri, hospital berpakar major, hospital pakar minor untuk hospital yang bersesuaian di bandar dan daerah di Sabah.

“Selain itu, mewujudkan Pusat Rawatan Onkologi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah dan Hospital Queen Elizabeth II sebagai Pusat Rawatan Kardiologi, Neurologi dan Vascular serta pengagihan peruntukan kewangan yang adil dan berformula mengikut jumlah fasiliti kesihatan di Sabah,” katanya.

Beliau turut meminta agar kerajaan persekutuan menaik taraf gred perjawatan di semua peringkat iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, hospital, pejabat kesihatan kawasan dan daerah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|