2 lelaki warga asing disyaki ahli sindiket edar dadah ditahan

2 lelaki warga asing disyaki ahli sindiket edar dadah ditahan

Tawau: Polis menahan dua lelaki warga asing dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di kawasan perumahan berhampiran bandar Tawau, di sini, semalam.

Serbuan jam 4.30 pagi dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau turut merampas 1,033.30 gram dadah jenis syabu bernilai RM60,000.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika serbuan dijalankan, terdapat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, pasukan serbuan kemudian bertindak menahan kedua-dua suspek untuk pemeriksaan dan merampas sebuah beg yang dipegang oleh salah seorang daripada suspek.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg itu menemukan satu bungkus plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 1,033.30 gram yang dianggarkan bernilai RM60,000.

“Kedua-dua suspek terbabit adalah warga asing dan salah seorang daripadanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Jasmin berkata, polis turut merampas sebuah kereta mengikut Seksyen 25(1) Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 kerana dipercayai digunakan bagi tujuan pengedaran dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

“Ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

Menurutnya, semua dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan serta sekitar daerah ini.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun siasatan akan dijalankan bagi mengetahui rangkaian kegiatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Jasmin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Kami mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama-sama membanteras kegiatan dadah di daerah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|