Sabah berpotensi miliki 50 peratus faedah penyertaan pengeluaran minyak dan gas di Samarang

Sabah berpotensi miliki 50 peratus faedah penyertaan pengeluaran minyak dan gas di Samarang

KUALA LUMPUR: Sabah membuka jalan ke arah mendapatkan 50 peratus faedah penyertaan yang berpotensi dimiliki kerajaan negeri dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) di kompleks lapangan minyak dan gas Samarang.

Ia berikutan pemeteraian perjanjian utama (HoA) di antara syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sabah, SMJ Sdn Bhd (SMJSB) dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), di Kuala Lumpur, hari ini.

Hajiji dan Tengku Muhammad Taufik menyaksikan pemeteraian HoA di Kuala Lumpur

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyaksikan majlis menandatangani HoA itu di Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur, berkata ia adalah satu lagi pencapaian penting bagi Sabah.

HoA itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMJSB, Dr Dionysia Aloysius Kibat dan CEO PCSB, Hazliza Othman.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden dan CEO Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz; Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Mohamed Firouz Asnan; Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Pemeteraian HoA itu dicapai selepas kedua-dua pihak baru saja menandatangani surat persefahaman (LoU) pada Rabu lalu bagi rundingan pengaturan pilihan semula PSC Blok SB409 yang memberikan Sabah 20 peratus faedah penyertaan sejurus selesai komitmen kerja atau penemuan komersial.

Dionysia dan Hazliza bertukar dokumen HoA dengan disaksikan Hajiji dan Tengku Muhammad Taufik

SMJSB turut menandatangani HoA dengan PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCGB) berkaitan pemerolehan 25 peratus faedah penyertaan di loji petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR), Sipitang pada 9 Januari lalu.

PCSB ialah pengendali yang ketika ini memegang 100 peratus penyertaan di bawah PSC Samarang sejak 1995 dan telah menandatangani perjanjian tambahan dengan PETRONAS pada 2018 bagi menyambung operasi PSC sehingga Disember 2035.

Berikutan HoA hari ini, kedua-dua pihak akan memuktamadkan perjanjian yang mana SMJSB akan memulakan peranan bukan operasi di PSC Samarang

PSC Samarang yang terletak di perairan Sabah mempunyai tujuh lapangan pengeluaran minyak dan gas sedia ada iaitu Samarang, Samarang Kechil, Sumandak, Zuhal, Alab, Erb West dan Kinarut, selain dua terminal penerimaan gas di Kota Kinabalu dan Wilayah Persekutuan Labuan.

SMJSB akan mendapat 50 peratus hak rakan kongsi daripada pengeluaran minyak dan gas yang dianggarkan sebanyak 36,000 tong sehari, selain 50 peratus hak penjual bersama gas asli kepada pelanggan sedia ada di Kota Kinabalu dan Labuan.

HoA yang ditandatangani hari ini dan potensi perolehan 50 peratus faedah penyertaan di PSC Samarang adalah pencapaian signifikan yang kedua selepas perjanjian kerjasama komersial (CCA) di antara PETRONAS dan kerajaan negeri pada 7 Disember 2021.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|