Kerjasama pihak kerajaan, NGO jelaskan Gagasan Malaysia Madani, SMJ perlu diteruskan

Kerjasama pihak kerajaan, NGO jelaskan Gagasan Malaysia Madani, SMJ perlu diteruskan

Tawau: Kerjasama antara pihak kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) perlu diteruskan dalam memberi penjelasan berkaitan Gagasan Malaysia Madani dan Konsep Sabah Maju Jaya (SMJ) yang terkandung dalam Pelan Pembangunan SMJ kepada rakyat secara keseluruhannya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sehubungan itu beliau memberikan penghargaan kepada USIA atau Pertubuhan Islam Seluruh Sabah kerana walaupun berstatus NGO, namun telah memainkan peranan yang sangat aktif dalam pelbagai bidang khususnya dakwah, sosial dan kerja amal.

Sejak dari dahulu lagi katanya, USIA begitu konsisten dengan tanggungjawab dalam membantu kerajaan untuk memelihara keharmonian dan meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan penduduk Negeri Sabah.

“Perlu juga diingat, bahawa Gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, bukanlah suatu retorik semata-mata”…Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Itulah antara sebab mengapa saya menyarankan agar USIA mengadakan kerjasama atau berkolaborasi dengan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) untuk mengadakan forum bagi memberi penjelasan berkaitan Gagasan Malaysia Madani dan dasar SMJ.

“Kerjasama dan kolaborasi seperti ini harus diteruskan, bukan hanya antara USIA dengan Pejabat TSKN (Tugas-Tugas Khas) sahaja, bahkan antara Kementerian atau Jabatan lain bersama dengan mana-mana NGO. Bekerjasamalah anda semua demi kebaikan dan kepentingan masyarakat dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Forum Malaysia Madani: Keharmonian Dalam Kepelbagaian, Pelaksanaan WAM2CARE Peringkat Zon Tawau dan Upacara Menandatangani MOU Antara USIA dan IKDAR di Dewan Masyarakat Tawau, pada Ahad.

Hajiji berkata, Gagasan Malaysia Madani dan Pelan Pembangunan SMJ menjurus kepada matlamat untuk mencipta kemakmuran dan kesejahteraan demi kebajikan dan kebahagiaan seluruh rakyat. Namun dalam konteks Pelan Pembangunan SMJ, katanya masih terdapat segelintir orang yang cuba memperkecil-kecilkan atau memperlekeh slogan Sabah Maju Jaya yang dipinjam daripada Jata Negeri.

“Pada saya, mereka yang cuba memperlekeh cogankata Sabah Maju Jaya, samalah seperti memperlekeh usaha dan perjuangan para pemimpin dan pejuang masa silam. Perlu juga diingat, bahawa Gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, bukanlah suatu retorik semata-mata.

“Kedua-dua konsep ini telah dirangka dengan teliti demi mencapai kemajuan yang hakiki untuk negara kita Malaysia dan Negeri Sabah. Antara bukti kejayaan kita melalui Pelan Pembangunan SMJ ialah pencapaian dalam sektor pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah telah mencapai rekod tertinggi dalam sejarah.

“Pada tahun lepas, perdagangan Sabah bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2 billion pada tahun 2021. Peningkatan sebanyak 35.4% ini adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini,” katanya.

Justeru, beliau menyokong penuh penganjuran Forum Malaysia Madani ini sebagai usaha menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke arah membina sebuah negara yang bertamadun, maju dan progresif.

“Gagasan Malaysia Madani ini adalah hala tuju Kerajaan Perpaduan Persekutuan dalam membawa Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang hebat dalam pelbagai aspek terutama ekonominya, pembangunan dan kemajuan termasuk pendidikan, sumber manusia, agama dan budaya.

“Konsep Malaysia Madani adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang telah saya perkenalkan pada awal 2021, sebagai matlamat atau dasar hala tuju Kerajaan Negeri,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengajak seluruh rakyat, terutama kalangan penjawat awam, selaku nadi penggerak pengurusan dan pentadbiran negeri, untuk terus berusaha dan bekerja demi membina sebuah negeri yang boleh dibanggakan bersama.

Sempena majlis itu, Ketua Menteri turut menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara USIA dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) bagi pengoperasian Pusat Latihan Dakwah USIA-Al-Bukhary di Kampung Marasinsim Kota Marudu.

Ketua Menteri turut melancarkan program Wadah Amal Menteri (WAM2Care) bagi daerah Tawau, bagi menyediakan pelbagai bantuan pendidikan kepada Pelajar-pelajar di Negeri Sabah; antaranya Bantuan Ehsan Sekolah Sabah (BISBA) dan Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa Guru (BAGUS).

Yang turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arifin Datuk Mohd Arif; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam dan Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|