Kenaikan kadar elaun bulanan kepada 3,963 Ketua Adat di Sabah

Kenaikan kadar elaun bulanan kepada 3,963 Ketua Adat di Sabah

Tawau: Seramai 3,963 pemimpin masyarakat (Ketua Adat) di Sabah akan mendapat purata 48 peratus kenaikan elaun bulanan mulai September tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan elaun bulanan Ketua Daerah dinaikkan kepada RM3,500 daripada RM2,700 (29.6 peratus kenaikan), Ketua Anak Negeri kepada RM2,500 daripada RM1,700 (47.1 peratus peningkatan),Wakil Ketua Anak Negeri kepada RM1,300 daripada RM900 (44.4 peratus kenaikan), Ketua Kampung dan Kapitan kepada RM1,200 daripada RM700 (71.4 peratus kenaikan).

Langkah itu akan memberi manfaat kepada 57 Ketua Daerah, 272 Ketua Anak Negeri, 648 Wakil Ketua Anak Negeri, 2,810 Ketua Kampung dan 176 Kapitan di seluruh negeri.

Ketua Menteri membuat pengumuman demikian pada Sesi Ramah Mesra bersama pemimpin dan ahli Gagasan Sabah Bahagian Parlimen Tawau dan Kalabakan, di sini pada Ahad.

Antara justifikasi kenaikan ini ialah sebagai pengiktirafan kedudukan terhormat Ketua Adat dalam masyarakat, termasuk peranan mereka sebagai hakim di Mahkamah Anak Negeri dan menampung perbelanjaan ketika menghadiri mesyuarat, kursus dan majlis rasmi di luar daerah.

“Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan penting Ketua Adat sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dan kenaikan itu bertujuan meningkatkan motivasi ketua adat untuk memberikan perkhidmatan yang penuh integriti kepada masyarakat.

“Tambahan pula, ia telah lama tertunggak dengan semakan yang terakhir dilakukan pada tahun 2013. Elaun mereka kekal tidak berubah manakala kos sara hidup meningkat,” katanya.

Jelasnya lagi, ini adalah bukti komitmen Kerajaan untuk memenuhi keperluan semua pihak dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|