Keputusan Mahkamah Rayuan Paris bukti tuntutan waris Sulu tidak mempunyai merit – Hajiji

Keputusan Mahkamah Rayuan Paris bukti tuntutan waris Sulu tidak mempunyai merit – Hajiji

Kota Kinabalu: Keputusan Mahkamah Rayuan Paris untuk mengekalkan cabaran Malaysia terhadap penghakiman timbang tara waris Sulu membuktikan pendirian Kerajaan Negeri selama ini bahawa apa yang dipanggil tuntutan Sabah tidak mempunyai apa-apa merit.

Sambil mengalu-alukan kemenangan penting itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia mengukuhkan lagi kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau mengulangi bahawa rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), oleh itu, sebarang tuntutan luar terhadap Sabah tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat.

“Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan keputusan itu dan berharap Kerajaan Malaysia akan mengambil semua tindakan sewajarnya untuk menamatkan tuntutan itu untuk selama-lamanya.

“Sabah, melalui jabatan Peguam Negari akan terus memainkan peranannya dengan Peguam Negara Persekutuan dalam menangani kes itu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, pada 6 Jun lalu, Mahkamah Rayuan Paris di Perancis membuat keputusan mengekalkan cabaran Malaysia terhadap keputusan penimbang tara, Gonzalo Stampa yang dilantik mahkamah Sepanyol untuk kes tuntutan Sulu pada 5 Mei 2020 dikenali sebagai “anugerah separa”.

Stampa memindahkan proses timbang tara ke Paris selepas mahkamah Sepanyol yang sama membatalkan pelantikannya sebagai penimbang tara pada Jun 2021.

Keputusan Mahkamah Rayuan Paris akhirnya bermakna pampasan AS$14.9 bilion oleh penuntut Sulu, yang merupakan “anugerah akhir” yang diberikan oleh Stampa selepas memindahkan timbang tara ke Paris pada 28 Feb 2022, tidak boleh dikuatkuasakan terhadap Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|