Kedudukan 4 Ahli Parlimen GRS diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat – Hajiji

Kedudukan 4 Ahli Parlimen GRS diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat – Hajiji

Kota Kinabalu: Kedudukan empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diserahkan sepenuhnya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan mengenai kedudukan mereka akan ditentukan Johari berdasarkan notis yang dikemukakan BERSATU dan jawapan empat Ahli Parlimen terbabit berhubung status masing-masing.

“Itu terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membuat keputusan, mereka (BERSATU) telah menghantar petisyen dan pihak kita yang keempat-empat Ahli Parlimen itu juga telah menghantar jawapan kepada Speaker.

“Banyak spekulasi di luar, macam-macam, tapi kita di dalam kita tahu rentetan dia, keadaan yang berlaku.

“Namun, saya yakin Speaker akan membuat keputusan yang terbaik kerana mereka sebenarnya sudah memenuhi, sehingga mereka tidak terlibat dalam Akta Anti Lompat Parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam kepada penduduk Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya telah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memastikan empat bekas Ahli Parlimen BERSATU Sabah yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah logo GRS mengosongkan kerusi mereka.

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar); Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Ia berikutan tindakan Hajiji sebelum ini yang mengumumkan pemimpin BERSATU Sabah keluar daripada parti itu dan menjadi ahli GRS secara individu, selain tindakan empat Ahli Parlimen terbabit duduk di blok kerajaan pada persidangan Dewan Rakyat 19 Disember lalu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan penubuhan parti baharu berikutan tindakan keluar BERSATU, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata ia akan diumumkan dalam masa yang terdekat.

“Kamu tunggu saja, dalam masa terdekat ini… Kita akan umumkan nanti,” katanya.

Pada Disember lalu, pemimpin BERSATU Sabah mengumumkan keputusan keluar daripada parti itu.

Hajiji berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|