36 KIR Kampung Tg Aru Baru terima Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam

36 KIR Kampung Tg Aru Baru terima Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam

Kota Kinabalu: Seramai 36 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Tanjung Aru Baru menerima Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam membabitkan jumlah RM1,000.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mereka adalah mangsa fenomena air pasang besar yang rumah kediaman ranap akibat bencana itu yang berlaku pada akhir Disember lalu.

Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menyumbangkan bantuan tambahan sebanyak RM20,000 kepada tiga KIR yang rumah mereka ranap sepenuhnya, untuk membina rumah baharu.

“Manakala, sebanyak 33 lagi KIR yang rumah mereka ranap sebahagian besar akan menerima bantuan RM10,000.

“Dengan bantuan dan wang ihsan itu kerajaan berharap dapat membantu mengurangkan sedikit beban mangsa-mangsa terlibat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan rumah mangsa di Kampung Tanjung Aru Baru, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkampungan di Kampung Forest, Sandakan yang turut terjejas akibat fenomena air pasang besar, Hajiji berkata, keputusan lanjut akan dibuat selepas laporan penuh diterima daripada Jawatankuasa Bencana Alam di Sandakan.

“Ada beberapa pendapat di sana, satu mereka tidak mahu rumah dibina di kawasan itu, jadi sekarang kita sedang mencari satu kawasan yang sesuai. Jadi kita tunggu dulu laporan itu baru kita boleh buat keputusan,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Haji Safar Untong; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|