WARISAN cadang 3 fasa pelaksanaan hak Sabah

WARISAN cadang 3 fasa pelaksanaan hak Sabah

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) mencadangkan tiga fasa pelaksanaan hak Sabah yang belum ditunaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ia membabitkan pelaksanaan segera (fasa pertama), diikuti pelaksanaan sebelum pembentangan Belanjawan 2023 bagi fasa kedua dan pelaksanaan ketika persidangan Parlimen Ke-15 menerusi fasa ketiga.

Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, berkata fasa pertama tertumpu kepada perkara yang tidak memerlukan pindaan akta selain sudah dibincangkan dalam Majlis Jawatankuasa Khas Kabinet berkaitan MA63.

Beliau berkata, sebanyak tujuh perkara dicadang dilaksanakan dalam fasa pertama didahului dengan semakan semula Warta PU (A) 119 bertarikh 20 April 2022 berkaitan Pemberian Khas kepada Sabah di bawah perkara 112D agar selari dengan formula pemberian semula dua perlima atau 40 peratus hasil persekutuan kepada kerajaan negeri.

Katanya, ia diikuti penubuhan Jawatankuasa Kerja di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak bagi memantapkan mekanisme kolaborasi pelaksanaan projek persekutuan di kedua-dua wilayah.

“Seterusnya, melantik wakil negeri pengeluar minyak dalam Anggota Majlis Penasihat Petroleum Negara (MPPN) dan kedudukan mereka perlu setaraf dengan majlis di peringkat kebangsaan seperti Majlis Tanah Negara dan Majlis Kewangan Negara.

“Keempat, penubuhan tabung atau akaun amanah pembangunan Sabah dan Sarawak bagi merapatkan segera jurang pembangunan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

“Kelima, memulakan gerak kerja khas bagi mencari pendekatan baharu dalam merancang pembangunan Sabah dan Sarawak (90 peratus projek kendalian kerajaan persekutuan terbengkalai di Sabah atau hanya 38 peratus peruntukan pembangunan yang diumumkan setiap tahun kepada Sabah dan Sarawak digunakan pada tahun semasa),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau yang juga Ketua Wirawati WARISAN berkata, dua lagi cadangan yang digariskan dalam fasa pertama ialah memberikan peruntukan yang lebih besar kepada Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira keluasan kawasan Parlimen serta menambah bilangan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak agar mewakili 35 peratus daripada kerusi Parlimen di Malaysia sejajar dengan semangat MA63.

Bagi fasa kedua, katanya tumpuan dicadangkan kepada perkara yang tidak membabitkan pindaan akta atau hanya membabitkan pindaan kepada arahan pentadbiran dan pekeliling perbendaharaan.

Katanya, tumpuan pertama ialah untuk menetapkan agar setiap butiran perbelanjaan yang akan dibelanjakan untuk Sabah dan Sarawak disenaraikan dengan lebih jelas dalam anggaran perbelanjaan persekutuan agar mudah dipantau.

“Kedua, kita mencadangkan agar kerajaan meminda pekeliling perbendaharaan (PB 2.6 dan PB 2.5) dengan melarang ‘viremen’ dan pindah peruntukan ke atas perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi butiran berkaitan Sabah dan Sarawak (cadangan pelaksanaan bagi tempoh lima hingga 10 tahun).

“Ketiga, jika dalam keadaan tertentu yang tidak dapat dielakkan, pekeliling perbendaharaan boleh membenarkan pindahan peruntukan dilakukan dengan syarat kelulusan daripada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak perlu diperolehi terlebih dahulu,” katanya.

Selain itu, katanya WARISAN turut menggariskan usaha bagi memastikan lebihan peruntukan pembangunan yang tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa disimpan semula di dalam tabung atau akaun amanah pembangunan Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan peruntukan tahunan bagi tahun berikutnya.

Sementara itu, Isnaraissah berkata bagi fasa ketiga, antara perkara utama yabg dicadang ialah menyelesaikan isu perundangan mengenai empat perkara berkaitan petroleum iaitu royalti minyak dan bayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah (Akta 750); dan Hak Negeri ke atas Pelantar Benua.

Beliau berkata kerajaan juga dicadang melaksanakan pindaan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) bagi menaik taraf Majlis Penasihat Petroleum Negara (MPPN) menjadi badan yang mempunyai kuasa membuat kepetusuan dan dipengerusikan Perdana Menteri.

“Kita juga mahu supaya dibuat pemulangan tanah Kerajaan Persekutuan yang tiada perancangan untuk digunakan di Sabah dan Sarawak kepada kerajaan negeri.

“Selain itu, sesi libat urus berkala setiap suku tahun di antara kementerian dan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak juga dicadang bagi melapor dan membincangkan status pelaksanaan projek kritikal khususnya Infrastruktur asas,” katanya.

Katanya, usaha menambah baik prosedur dan tatacara kewangan semasa juga perlu dilaksanakan dalam fasa ketiga pelaksanaan haka Sabah agar segala proses yang berkaitan pembangunan di Sabah dan Sarawak dapat dimulakan dengan segera yang mungkin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|