KDM sokong saranan PM wujud kerajaan perpaduan

KDM sokong saranan PM wujud kerajaan perpaduan

Penampang: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyokong penuh saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan perpaduan diwujudkan bagi menyelesaikan kemelut politik di Sabah.

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, sekiranya kerajaan perpaduan diwujudkan, ia bukan saja memberi kebaikan kepada semua parti-parti di Sabah malahan memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Peter bersama pemimpin KDM ketika ditemui di pejabat parti berkenaan di Penampang.

“Dalam pertemuan dengan perdana menteri bersama Timbalan Perdana Menteri (Datuk Zahid Hamidi) semalam, beliau mencadangkan supaya satu kerajaan perpaduan ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut politik yang sudah berlarutan di Sabah sejak beberapa minggu.

“KDM amat menyokong dan berterima kasih kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri dalam saranan berkenaan (mewujudkan kerajaan perpaduan), kita percaya dengan wujudnya kerajaan perpaduan ini, maka masalah di peringkat akar umbi terutama di kalangan ahli-ahli Yang Berhormat yang menyokong kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahu pun di Sabah ini dapat direalisasikan dan dapat dijalankan dengan baik.

“Oleh kerana di kalangan ahli-ahli Yang Berhormat contohnya di peringkat DUN, kita memerlukan satu pasukan yang baik, bermakna kira perlu berinteraksi ataupun bekerjasama dengan bahagian UPPM (Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat), di bahagian ketua-ketua kampung, JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung), begitu juga di peringkat daerah, ini adalah penting bagi kami di peringkat ahli-ahli Yang Berhormat yang menyokong kerajaan pada ketika ini.

“Saya bersama ahli-ahli Yang Berhormat daripada Limbahau (Datuk Juil Nuatim) dan Bandau (Datuk Wetrom Bahanda) sememangnya amat menyokong saranan perdana menteri dan timbalan perdana menteri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Peter berkata, antara yang dibincang dan disarankan dalam pertemuan semalam adalah menubuhkan satu sekretariat khas di dalam melantik atau mencadangkan barisan kepimpinan di peringkat negeri.

“Ini agar semua parti yang ada di Sabah ini dapat bersama-sama memainkan peranan, bukan sahaja menstabilkan politik kita, tetapi juga membantu menstabilkan kedudukan ekonomi serta politik di peringkat persekutuan juga.

“Saya melihat sebelum ini, kerjasama di kalangan parti-parti politik di peringkat persekutuan untuk mewujudkan satu kerajaan persekutuan, menampakkan satu kebaikan kepada semua pihak.

“Kami meletakkan kepercayaan kami dan menyerahkan kepada kebijaksanaan perdana menteri dalam membentuk kerajaan perpaduan yang disarankan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Peter yang juga ADUN Melalap berharap Hajiji selaku ketua menteri dapat mempertimbangkan sebaiknya saranan oleh perdana menteri semalam.

“Perdana menteri bersama timbalan perdana menteri telah memberi nasihat dan saranan mereka, jadi terpulang kepada ketua menteri bagi mempertimbangkannya namun saya percaya beliau akan pertimbangkannya sebaik mungkin demi kestabilan politik Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KDM menerusi tiga ADUN mereka menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Gas 2023 yang dibentangkan pada mesyuarat khas DUN yang diadakan hari ini.

“Apa yang terbaik untuk Sabah kita tetap akan sokong dan sudah pastinya kami sebagai wakil rakyat yang dipilih akan mempertahankan perlembagaan,” katanya.

-Deasoka


 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|