DUN Sabah: Pengembalian kuasa kawal selia gas kepada Sabah antara tuntutan MA63

DUN Sabah: Pengembalian kuasa kawal selia gas kepada Sabah antara tuntutan MA63

Kota Kinabalu: Penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Kerajaan Negeri Sabah merupakan antara perkara yang terkandung dalam tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa siri perbincangan diadakan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dan akhirnya pada 21 Disember lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan telah meluluskan penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas.

Menurutnya, ia dilakukan menerusi Perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan, iaitu penggantungan Akta Bekalan Gas 1997 dan Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi gas).

“Perintah tersebut telah diperkenan oleh Yang di Pertuan Agong pada 27 Disember lalu dan berkuat kuasa pada hari ini (10 Januari).

“Maka dengan itu, Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Gas 2023 hendaklah dibentang, bertujuan untuk mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas merangkumi bekalan gas daratan (on shore).

“Iaitu pengimportan gas ke terminal penggasan semula, pemprosesan gas, penggasan semula gas, pengiriman gas, pengangkutan/penghantaran gas, pengagihan gas, peruncitan gas dan penggunaan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembentangan RUU Bekalan Gas 2023, pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, ia akan ditadbir dan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah.

RUU yang mengandungi tujuh Bahagian dan 81 Fasal itu kemudiannya diluluskan sebulat suara selepas dibahas ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin (GRS- Nabawan), Datuk Yong Teck Lee (GRS – Dilantik), Datuk Masiung Banah (ADUN Kuamut -Dilantik), Datuk Ewon Benedick (PH – Kadamaian) dan Datuk Dr Yusof Yacob (BN – Sindumin).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|