DUN Sabah: Perubahan tempat duduk ADUN hanya sementara – Speaker DUN

DUN Sabah: Perubahan tempat duduk ADUN hanya sementara – Speaker DUN

Kota Kinabalu: Perubahan yang kedudukan tempat duduk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini hanya sementara.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Kadzim M Yahya berkata, penyusunan semula itu dilakukan untuk memudahkan sidang khas yang diadakan hari ini.

Menurut beliau, kedudukan kerusi akan dimuktamadkan sekiranya Kerajaan Negeri mengumumkan keputusan rombakan Kabinet Negeri.

“Kita perlu buat susunan untuk sidang DUN yang diadakan hari ini. Tidak mungkin kita mahu Dewan kelihatan kosong macam ‘gigi rompang’.

“Ia tertakluk kepada rombakan Kabinet yang akan diumumkan, sama ada ia membabitkan mereka.

“Itu saja yang saya boleh cakap, sebab bukan saya yang memutuskan mereka kekal atau tidak kerana lantikan Kabinet adalah prerogatif Ketua Menteri dan bukan Speaker,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sidang Khas DUN, yang diadakan di Bangunan DUN, hari ini.

Sementara itu, Kadzim memaklumkan bahawa rekod menunjukkan hanya 44 ADUN yang menghadiri sidang khas berkenaan.

Jelasnya, jumlah kehadiran yang dilaporkan pada sidang kali ini merupakan antara terendah pernah dilihat dalam tempoh dua tahun ini.

Ketika ditanya mengenai beberapa ADUN yang tidak hadir ke sidang berkenaan, beliau berkata, ia adalah tertakluk kepada sebab masing-masing.

“Saya tidak pernah menolak sebarang permohonan tidak hadir. Bila mereka mohon, saya luluskan sebab bukan tugas saya untuk memeriksa kesahihan alasan mereka.

“Ia terpulang kepada mereka, mungkin mereka mempunyai alasan untuk tidak hadir dan tidak dapat hantar permohonan ketidakhadiran, tapi saya tidak boleh buat kesimpulan,” katanya lagi.

Terdahulu, Sidang Khas DUN itu diadakan bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023.

Kedua-dua RUU itu telah dibahaskan sebelum diluluskan secara sebulat suara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|