Lelaki warga Brunei hilang dicari

Lelaki warga Brunei hilang dicari

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Brunei dilaporkan hilang selepas menyertai acara Hobbycon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Disember lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Ak Muhammad Abdullah Pg Ali, 29, dijadualkan pulang ke negaranya 20 Disember lalu namun sehingga kini gagal dikesan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa masuk ke negara ini bersama tiga rakannya pada 13 Disember lalu.

Katanya, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada 19 Disember di sebuah kedai di 1Borneo Hypermall untuk membeli kad permainan.

“Menurut laporan polis, mangsa dikatakan akan balik menggunakan Feri dari Menumbok – Labuan – Brunei.

“Bagaimanapun sehingga ke hari ini, mangsa masih gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kalsom berkata, ahli keluarga mangsa turut memaklumkan, Ak Muhammad Abdullah gagal dihubungi menerusi telefon bimbit dan pesanan aplikasi WhatsApp.

Sehubungan itu, Kalsom berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung mangsa diminta supaya tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Norul Azlan Mohamad Nawi ditalian 010-9300777 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|