Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat 14

Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat 14

Kota Kinabalu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 14 sebuah hotel di Jalan Karamunsing, di sini, pagi ini.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap 14 ke beranda di tingkat lima bangunan hotel berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.44 pagi.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa kanak-kanak ditemukan terjatuh dari tingkap di tingkat 14 ke beranda tingkat empat bangunan hotel berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi membawa turun mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada 7.54 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|