Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah optimis proses pembangunan dan kemajuan Sabah dan Sarawak mampu dipacu dengan lebih berkesan menerusi peruntukan besar RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion dalam Belanjawan 2023.
Presidennya, David Chan berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu mampu memberi manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negeri.
Beliau berkata, adalah diharapkan dengan peruntukan berkenaan dapat merapatkan lagi jurang berbezaan kemajuan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
“Apa yang penting melalui Belanjawan 2023 adalah proses membela nasib rakyat dengan menaik taraf pelbagai kemudahan dan prasarana asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air bersih dan capaian internet.
“Kita harap peruntukan besar ini mampu melonjakkan lagi kemajuan negeri sekali gus membolehkan aktiviti ekonomi khususnya di kawasan luar bandar menjadi lebih rancak,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan peruntukan tersebut yang akan digunakan bagi membangunkan bandar-bandar bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia seperti Kalabakan, Sabah dan Ba’kelalan, Sarawak dengan kos RM1 bilion.
“Bandar-bandar bersempadan ini akan menjadi pintu masuk kepada rakyat Indonesia khususnya selepas perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.
“Dengan adanya kemudahan prasarana lengkap dan kemudahan bersesuaian pasti memajukan bandar-bandar sempadan sekali gus membuka peluang pekerjaan dan ekonomi penduduk setempat,” katanya.
David berkata, kerajaan juga diharap menyediakan sebahagian peruntukan bagi menambah sumber makanan serta mengekang harga barang daripada terus meningkat.
Katanya, rakyat hari ini tertekan dengan harga barangan makanan dan perkhidmatan yang terus meningkat dan seharusnya ada disediakan pelan tindakan jangka panjang dan jangka pendek bagi menangani isu berkenaan.
“Kita menerima baik inisiatif yang disediakan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2023 khususnya bagi membantu golongan petani, pekebun getah, belia, wanita dan usahawan PMKS.
“Kita berharap golongan sasar ini memanfaatkan sebaik mungkin bantuan yang diberikan dan ia diagihkan kepada sasaran yang sepatutnya,” katanya.
-Deasoka