Fasa pertama naik taraf Jalan Lok Kawi-Pengalat-Papar dimulakan tahun ini

Fasa pertama naik taraf Jalan Lok Kawi-Pengalat-Papar dimulakan tahun ini

Papar: Projek naik taraf Jalan Lok Kawi-Pengalat-Papar kepada empat lorong yang dibatalkan pada 2018 dilaksanakan semula secara berfasa bermula tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata fasa pertama membabitkan kos RM67 juta.

Katanya, kerja naik taraf bagi fasa itu bermula dari Bulatan Sabindo hingga ke jambatan Sungai Kinarut sepanjang kira-kira 3.4 kilometer.

Beliau berkata, projek secara berfasa itu dicadangkannya bagi mengurangkan kos pelaksanaan asal yang menelan belanja RM700 juta.

“Jalan raya Lok Kawi – Pengalat – Papar, dulu dibatal pada 2018. Kosnya kira-kira RM700 juta pada masa itu dan mungkin lebih tinggi pada masa ini disebabkan kenaikan kos bahan binaan.

“Jadi, itulah masalah kita, namun saya cadangkan kepada Menteri Kerja Raya, Menteri Ekonomi dan Kementerian Kewangan supaya buatlah secara berfasa.

“Alhamdulillah, cadangan untuk melaksanakan fasa pertama diluluskan iaitu sepanjang 3.4 kilometer bermula dari Bulatan Sabindo hingga ke jambatan Sungai Kinarut dengan kos RM67 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimatnya kepada guru dan warga Jabatan Pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kinarut, Papar, semalam.

Taklimat perkembangan semasa pembangunan zon Kinarut dan isu pendidikan di Papar itu sempena lawatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang meninjau masalah bangunan daif di SK Pekan Kinarut.

Projek asal menaik taraf Jalan Lok Kawi – Pengalat – Papar itu membabitkan hampir 20 kilometer.

Pelaksanaannya disasar untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di laluan sedia ada berikutan ramai pengguna jalan raya dari arah Papar menjadikannya laluan utama ke tempat kerja di bandar raya Kota Kinabalu.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, walaupun hanya 3.4 kilometer diluluskan untuk pembinaan fasa pertama, ia sangat penting bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas dialami pengguna berikutan laluan yang sempit ketika ini.

“Projek ini akan dimulakan tahun ini bagi kerja tanah dan jajaran baharu, manakala tahun depan pelaksanaan penuh. Sekiranya ada empat lorong, ia dapat menyelesaikan isu ‘bottle neck’ di laluan ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|