MOSAR bantu bawa turun pendaki wanita terseliuh, sakit perut

MOSAR bantu bawa turun pendaki wanita terseliuh, sakit perut

Ranau: Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menyelamatkan seorang pendaki Gunung Kinabalu selepas bahu terseliuh dan sakit bahagian perut di Kilometer 5.7 Gunung Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, pendaki wanita terbabit berusia 44 tahun dilaporkan sukar bergerak dan terpaksa dibawa turun untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.35 tengah hari.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai termasuk Mosar, kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) dan Malim Gunung dikerah ke lokasi kejadian.

Pasukan penyelamat membawa turun mangsa yang terseliuh dan sakit perut di Gunung Kinabalu, hari ini.

“Sebaik tiba di lokasi terdapat seorang pendaki dilaporkan terseliuh di bahu kiri dan mengadu sakit perut akibat terjatuh.

“Pasukan Mosar bersama TTS dan Malim Gunung memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa kemudiannya dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan Robinson stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans dan dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 5 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|