Kaji semula penganjuran Tamu Besar Kota Belud: Salleh

Kaji semula penganjuran Tamu Besar Kota Belud: Salleh

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diminta untuk mempertimbang dan mengkaji penganjuran semula Program Tahunan Tamu Besar Kota Belud yang pernah merancakkan sektor perniagaan setempat dan pelancongan domestik di daerah berkenaan.

ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, ini berikutan program tersebut sudah tidak diadakan sejak dua tahun lalu dan ia juga disifatkan sebagai kerugian besar kepada sektor ekonomi tempatan Kota Belud, secara amnya.

“Saya sedih dengan makluman bahawa Program Tahunan Tamu Besar Kota Belud sudah tidak diadakan untuk 2 tahun berturut-turut: iaitu 2022 dan 2023 (kali terakhir diadakan pada 2021).

“Ini merupakan satu kerugian besar kepada sektor industri ekonomi tempatan Kota Belud, kerana Tamu Besar merupakan satu program tempatan yang sudah cukup terkenal dalam kalendar perlancongan tahunan Sabah.

“Program ini merancakkan perniagaan tempatan dan pelancongan domestik dan antarabangsa kerana Tamu Besar Kota Belud lebih unik dari tamu daerah lain Sabah kerana dapat menyajikan pelbagai jenis produk pelancongan seperti Acara Tamu Besar, Lumba Kerbau, Kuda Berhias, Ratu Serimpak, Pertandingan Usungan, dan lain-lain,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga diharap dapat mengkaji semula untuk bukan sahaja menganjurkan semula Tamu Besar Kota Belud, tetapi juga mencari jalan untuk menambahbaikkan Program Tamu Besar berkenaan untuk masa akan datang.

“Perancangan awal boleh diadakan untuk mengurangkan kesesakan lalulintas yang selalu berlaku pada setiap program Tamu Besar, dan perancangan juga boleh dilakukan untuk mendigitalkan mana aspek Tamu Besar yang sesuai seperti peralihan teknologi penstriman, e-dagang untuk jualan beli tamu tradisional dan aplikasi pembayaran tanpa tunai (cashless),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2024 di Sidang DUN Sabah, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Salleh turut membahaskan isu kepentingan penyambungan Projek Bandar Digital di Kota Belud, seperti mana perjanjian kerjasama program berkenaan telah dimetrai pada tahun 2021.

“Pada tahun 2021, terdapat satu perjanjian kerjasama termeterai antara pihak Kerajaan Negeri, Qhazanah Sabah dan juga pihak swasta Berjaya Land untuk membina Bandar Digital di Kota Belud sebagai satu inisiatif transformasi pembangunan di daerah Kota Belud.

“Pada asasnya, perancangan kerjasama tersebut adalah untuk merancakkan pembangunan modal insan tempatan kerana ia bakal menarik golongan muda untuk berhijrah ke Kota Belud untuk mencari peluang pekerjaan dalam bidang perlancongan, perniagaan dan juga menambahkan perumahan selesa untuk penduduk setempat.

“Saya menyeru Kerajaan Negeri untuk mengkaji dan mempertimbangkan semula pelaksanaan perancangan tersebut dan mempertimbangkan untuk pelaksanaannya secepat mungkin kerana ianya memberikan kesan positif kepada pembangunan modal insan khusus kepada Kota Belud,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|