Jumlah pemberian khas Persekutuan, Sabah masih berpendirian sama: Nizam

Jumlah pemberian khas Persekutuan, Sabah masih berpendirian sama: Nizam

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah masih berpendirian yang sama dalam jumlah pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendirian tersebut adalah melibatkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Jumlah pemberian khas yang dituntut adalah berdasarkan formula yang termaktub di bawah Seksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan iaitu bersamaan dengan 40 peratus daripada amaun hasil bersih yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan dari negeri Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah masih meneruskan perbincangan pelaksanaan pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan, “kata beliau bagi menjawab soalan ADUN Sindumin, Datuk Yusuf Yacoob dalam sidang DUN Sabah, hari ini.

Yusuf dalam sesi sidang DUN berkenaan melontarkan soalan berhubung status semasa perlaksanaan mengenai Hak-Hak Sabah seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perkara-perkara yang telah dipersetujui dan adakah ia telah mula dilaksanakan.

Bagi jawapan kepada pelaksanaan yang telah diselesaikan, Nizam berkata, terdapat tujuh perkara yang telah dan sedang dilaksanakan mengikut tuntutan MA63.

“Antara yang disebut adalah Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2);Pemberian Kuasa (Empowerment) Mengenai Pelesenan dan Penangkapan Ikan Laut Dalam Kepada Kerajaan Negeri Sabah; Penyerahan Kuasa ke atas Pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas.

“Selain itu, selebihnya adalah Pengiktirafan JKR Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknikal di bawah AP182; Pelantikan wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 3 Januari 2024,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|