Jemaah baharu Kabinet Sabah dijangka angkat sumpah esok

Jemaah baharu Kabinet Sabah dijangka angkat sumpah esok

Kota Kinabalu: Satu majlis angkat sumpah anggota baharu Kabinet negeri dijangka dikatakan di Istana Seri Kinabalu, di sini, pagi esok.

Upacara yang dijadual diadakan di Dewan Kunjungan, Istana Seri Kinabalu pada jam 10 pagi itu berdasarkan surat jemputan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), atucara majlis dan surat pemakluman daripada Istana kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu yang viral di media sosial, hari ini.

ADUN Barisan Nasional (BN), James Ratib antara nama yang dijemput dalam surat yang viral itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan mengenai jemputan itu, namun tidak juga menafikannya.

“Mungkin betullah tu, tapi saya belum nampak surat jemputan itu (secara fizikal) lagi,” katanya.

James adalah antara lima ADUN BN yang menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri.

Empat lagi ADUN UMNO yang menyokong Hajiji ialah Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Difahamkan, majlis itu bakal menyaksikan ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah dibawa masuk ke dalam Kabinet berikutan sokongan tujuh ADUN PH kepada kepemimpinan Hajiji.

Seorang ADUN PH daripada DAP turut dijangka mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri bagi mengisi kuota Cina atau Bukan Bumiputera.

Mereka dijangka mengisi portfolio yang kosong berikutan tindakan UMNO BN menarik sokongan kepada Ketua Menteri sebelum ini.

ADUN UMNO sebelum ini memegang portfolio Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Beberapa rombakan lain turut dijangka selaras situasi semasa politik Sabah ketika ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|