Ranau: Jambatan utama yang menghubungkan penduduk di Kampung Mohimboyon, di sini, runtuh petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu dipercayai akibat arus deras sungai namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 5.05 petang.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Kejadian membabitkan jambatan laluan utama penduduk di Kampung Mohimboyon telah runtuh akibat air sungai deras.
“Pasukan bomba bertindak membuat pemeriksaan dan pemantauan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, selepas membuat pemeriksaan kemerbahayaan di lokasi, pasukan bomba memasang sawar-sawar bagi menutup laluan jambatan berkenaan agar tidak dilalui oleh penduduk kampung.
-Deasoka