Jalan Semawang – Kuala Gum-Gum rancakkan pembangunan Libaran

Jalan Semawang – Kuala Gum-Gum rancakkan pembangunan Libaran

Sandakan: Jalan baharu yang akan dibina dari Kampung Semawang ke Kuala Gum-Gum, di sini, bakal merancakkan pembangunan Libaran dan meningkatkan ekonomi rakyat.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata projek pembinaan jalan baharu tunggal dua Lorong sepanjang 19.9 kilometer itu membabitkan peruntukan lebih RM213 juta dan akan dilaksanakan tahun ini.

Suhaimi melihat keadaan jalan Kampung Semawang yang mengalami kerosakan.

“Sebuah jambatan baharu dengan panjang 577.4 meter juga akan dibina dan ini antara jambatan terpanjang di Sabah yang bakal menjadi mercu tanda Parlimen Libaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan di tapak projek membina dan menyiapkan Jalan Semawang ke Tanjung Kuala Gum-Gum di Kampung Semawang, di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Jurutera Kerja/Bahagian Projek Jabatan Kerja Raya (JKR) Sandakan, Riny Susilawati Hamdan; Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Libaran, Zaini Tiksun, pemimpin masyarakat dan wakil kontraktor.

Suhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, berkata projek terbabit dijangka siap pada hujung tahun 2025.

Sementara itu, Suhaimi juga meminta pihak kontraktor pembinaan jalan baharu itu agar membaiki jalan asal ke Kampung Semawang yang kini mengalami kerosakan dan menyukarkan kenderaan kecil, sementara menunggu pembinaan jalan itu siap sepenuhnya.

“Jalan yang sedia ada itu merupakan laluan utama penduduk kampung dan guru-guru sekolah,” katanya.

Beliau berkata pembinaan jalan itu di persisiran pantai akan dapat membantu pengembangan ekonomi masyarakat setempat bagi mengeluarkan hasil agro makanan ke pusat bandar.

“Laluan itu juga akan menjadi jalan rentas pelancong ke Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary Batu 19 dan akan meningkatkan bilangan pelancong ke situ.

Beliau berkata jambatan baharu itu juga akan menjadi tumpuan dan lokasi pemancing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|