IDS anjur Perbincangan Meja Bulat mengenai Perubahan Iklim dan Kanak-Kanak

IDS anjur Perbincangan Meja Bulat mengenai Perubahan Iklim dan Kanak-Kanak

Kota Kinabalu: Cabaran pengumpulan data mengenai kesan perubahan iklim adalah antara isu yang akan dibincangkan pada Perbincangan Meja Bulat mengenai Perubahan Iklim dan Kanak-Kanak yang dianjurkan Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr Ramzah Dambul berkata, sesi itu dijalankan dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Menurut beliau, di Malaysia, paras air laut dan suhu menyebabkan lebih banyak banjir dan kekurangan makanan serta air.

“Terdapat beberapa jurang maklumat ketika mengukur kesan iklim terhadap Sabah pada peringkat makro dan mikro.

“Pengumpulan data dihadkan oleh cabaran logistik, terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah.

“Tambahan pula, data itu perlu disatukan supaya ia boleh digunakan dengan cekap untuk memaklumkan kepada pembuat dasar dan penyelidik,” katanya menerusi satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sesi perbincangan meja bulat yang akan diadakan di Dewan IDS, Wisma IDS pada 10 Februari ini bakal mengumpulkan pihak berkepentingan utama untuk meneroka dan mengkontekstualisasikan isu iklim dan alam sekitar di lapangan yang dihadapi di negeri ini.

Ramzah berkata, di Malaysia, perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar memberi kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak, terutamanya melalui penyakit bawaan air yang dikaitkan dengan banjir.

Tambah beliau, selain itu juga penyakit bawaan vektor sensitif iklim seperti malaria dan dengi, masalah kesihatan yang dikaitkan dengan pencemaran udara dan risiko kesihatan daripada pendedahan kepada bahan kimia, bahan berbahaya dan sisa.

Dalam pada itu, Pakar Program Inovasi dan Kelestarian UNICEF Malaysia, Issmail Nnafie berkata, walaupun kanak-kanak tidak bertanggungjawab terhadap kesan krisis iklim dan pencemaran alam sekitar, mereka menanggung beban yang paling besar.

“Adalah penting untuk kita menangani kelemahan tambahan kanak-kanak terhadap iklim, alam sekitar dan risiko bencana, serta merealisasikan hak kanak-kanak untuk persekitaran yang selamat, bersih, sihat dan mampan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|