Hospital Likas catat 110 peratus penggunaan katil

Hospital Likas catat 110 peratus penggunaan katil

Kota Kinabalu: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) atau Hospital Likas, di sini, mencatat penggunaan katil yang tinggi hingga melebihi kapasiti dengan kadar 110 peratus pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata angka itu menunjukkan keperluan katil di hospital berkenaan berada pada tahap yang kritikal berikutan kapasiti sedia ada hanya 678 katil ketika ini.

Lukanisman meninjau wad rawatan bayi di HWKKS di Likas, Kota Kinabalu.

“Ia satu angka yang besar dan kritikal. Saya juga melihat ada keperluan di setiap ‘level’ untuk penambahan kakitangan, pakar dan penjagaan rapi kanak-kanak baru lahir.

“Kita juga melihat keperluan katil yang penuh dan peralatan yang dapat membantu kecekapan kakitangan yang perlu diberi perhatian,” katanya ketika lawatan ke HWKKS, hari ini.

Beliau berkata, ada keperluan untuk menambah kemudahan hospital berkenaan khususnya di unit kecemasan, selain penambahan bangunan bagi menampung bilangan pesakit yang ramai mencecah 56,000 setahun dan kadar kelahiran yang tertinggi di negara ini.

Berikutan itu, Lukanisman berkata, beliau akan membawa keperluan HWKKS untuk tindakan kementerian agar diberi tumpuan yang serius sejajar usaha memastikan keperluan kesihatan di Sabah dapat ditingkatkan seiring dengan perkhidmatan yang ada di Sarawak dan Semenanjung.

“Saya berharap dengan lawatan ini ada susulun lawatan menteri selepas ini. Kami akan lihat apa yang dapat diajukan kepada Perdana Menteri supaya sektor kesihatan Sabah dan Sarawak diberikan perhatian sejajar dengan Kerajaan Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata, banyak lagi keperluan kesihatan yang perlu diberi perhatian di Sabah, termasuk di klinik kesihatan yang memerlukan dana besar untuk ditingkatkan kualiti perkhidmatannya.

Sementara itu, beliau berkata sektor kesihatan negara memerlukan dana yang mencukupi bagi membiayai usaha ke arah meningkatkan tahap perkhidmatan dan memenuhi keperluan rakyat yang meningkat.

Katanya, tumpuan perlu diberikan terhadap pendanaan kesihatan agar perkhidmatan kesihatan di negara ini kembali berada di tahap yang sepatutnya.

“Kita berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat keperluan kesihatan terutama memberi tumpuan kepada pendanaan kesihatan supaya kita dapat ‘catch up’ memandangkan selapas dua tiga tahun berdepan COVID-19, ambulans yang baru dipakai pun sudah mencatat ‘mileage’ yang besar kerana kita menggunakan sepenuhnya aset yang ada.

“Jadi kita perlu memulihkan semula sistem kesihatan kita dan berikan satu perkhidmatan yang terbaik dan bermaruah kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, walaupun keadaan ekonomi yang kurang baik ketika ini sedikit sebanyak menjejaskan pengagihan dana kepada sektor kesihatan, kementerian berharap dengan adanya kestabilan Kerajaan Perpaduan, dana dapat ditingkatkan.

“Berdasarkan ekonomi semasa dan memandangkan peruntukan Ahli Parlimen pun diturunkan, itu menandakan Perdana Menteri sedang berusaha keras menangani situasi ini.

“Jadi memang dana untuk kesihatan tidak cukup, tapi dengan kerajaan yang stabil kita berharap dalam lima tahun dapat kukuhkan ekonomi dan akhirnya kita dapat bajet yang selayaknya untuk kesihatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|