Maritim Malaysia tahan 2 juragan, 5 PATI

Maritim Malaysia tahan 2 juragan, 5 PATI

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua juragan tempatan bersama lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam dua kejadian berasingan di perairan daerah ini, semalam.

Kedua-dua juragan berusia 19 dan 66 tahun yang mengemudi bot jenis penumpang dan jongkong ditahan anggota Maritim Malaysia Zon Tawau ketika menjalankan Ops Pluto Timur dan Ops Sejahtera.

Bot dikemudi juragan yang membawa PATI ditahan di perairan Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dua aset peronda yang sedang menjalankan operasi di sektor operasi yang berlainan masing-masing mengesan pergerakan bot itu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Katanya, kejadian pertama jam 8.20 pagi menahan sebuah bot jenis penumpang yang bergerak dari arah Pulau Sebatik menuju ke perairan daerah ini di kedudukan 1.4 batu nautika selatan perairan Batu 2.

Juragan bersama PATI ditahan anggota Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau di perairan Tawau, semalam.

“Pemeriksaan mendapati seorang juragan lelaki bersama dua penumpang lelaki masing-masing berusia lingkungan 20 tahun dipercayai warga Indonesia tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Sebuah lagi bot jenis jongkong turut ditahan jam 5.30 petang di kedudukan 1.06 batu nautika selatan perairan Indrasabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot itu mendapati seorang lelaki bertindak sebagai juragan membawa tiga penumpang lelaki dipercayai warga Indonesia tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

“Semua barangan termasuk bot, enjin, barangan peribadi disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM58,500,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan Akta Imigresen 1959/63 atas cubaan memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

Sementara itu, Shahrizan berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan daerah ini ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|