Hajiji tidak sandang jawatan Menteri Kewangan langkah progresif – Phoong Jin Zhe

Hajiji tidak sandang jawatan Menteri Kewangan langkah progresif – Phoong Jin Zhe

Kota Kinabalu: Keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk tidak menyandang jawatan sebagai Menteri Kewangan merupakan langkah yang progresif.

Sambil menyambut baik keputusan itu, Menteri Pembangunan Perindustrian, Phoong Jin Zhe turut menyifatkan ia sebagai satu langkah reformis.

“Selepas berpuluh tahun, akhirnya kita ada sesuatu yang progresif di mana Ketua Menteri tidak memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

“Ini adalah satu langkah yang baik dan saya yakin rakyat Sabah akan menyambut baik keputusan ini.

“Kita pernah mengemukakan cadangan-cadangan reformasi kepada Ketua Menteri ketika Pakatan Harapan (PH) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ismail Sabri pada 2021.

“Ia termasuklah pemerkasaan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ketua Menteri tidak boleh memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dan sebagainya,” katanya.

Jin Zhe berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiada Angkat Sumpah barisan Kabinet Negeri baharu, di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Beliau yang merupakan antara wajah baharu dalam barisan Kabinet di bawah pimpinan Hajiji berkata, lantikan itu membawa tanggungjawab yang sangat besar.

“Saya tahu banyak cabaran di hadapan dan saya berharap episod ini dan juga kemelut politik ini selesai dengan penyertaan PH dalam kerajaan kini.

“Walaupun saya orang muda, namun saya akan berkerja keras untuk memastikan ada perubahan yang akan dilihat.

“Penggal ini tidak sampai tiga tahun lagi, ertinya saya kena kerja dua kali lebih kuat, gandakan usaha dan masa untuk memastikan saya dapat merealisasikan misi serta membawa perubahan dalam Kementerian, demi rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sekiranya lantikan Kabinet selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, keyakinan telah diberikan kepada Hajiji.

“Anwar cuma memberitahu beliau beri sokongan kepada dan keyakinan kepada Hajiji. Apabila kita bertemu ia sangat ringkas.

“Ia cuma diadakan di kediaman rasmi, Sri Gaya, sepanjang 30 minit, beliau berbincang, bertahu tidak ada masalah dan meletakkan sokongan kepada Hajiji untuk terus pimpin Sabah.

“Ini merupakan keputusan yang dibuat oleh Hajiji dan kita kena akui dan hormati itu,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|