Hajiji kini presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah

Hajiji kini presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi mengambil alih tampuk kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) susulan Mesyuarat Agung Khas (EGM) parti itu hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, dengan langkah itu semua ahli kini mempunyai wadah politik yang 100 peratus tempatan untuk meneruskan perjuangan mereka kepada rakyat dan negeri.

Senarai Jawatankuasa Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah

“Dua ciri utama Gagasan Rakyat yang menjadi faktor penarik saya dan rakan-rakan untuk bersama-sama dalam parti ini ialah parti berbilang kaum yang membawa citra inklusiviti dan parti suara anak Sabah yang mengangkat citra perjuangan tempatan.

“Ia juga faktor yang meyakinkan rakan dalam GRS untuk menerima segera Gagasan Rakyat sebagai rakan komponen terbaharu mereka,” katanya pada EGM Gagasan Rakyat yang dihadiri lebih 150 ahli di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.

Hajiji berkata, parti komponen GRS sudah lama menyatakan hasrat agar GRS menjadi platform tempatan dalam erti kata sebenar, iaitu semua rakan kongsi menjadi parti tempatan.

Selain itu, Hajiji berkata agenda Gagasan Rakyat juga selari dengan empat tonggak perjuangan GRS – Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu).

Beliau berkata sebagai sebuah parti tempatan tidak bermaksud ia menolak agenda nasional atau membelakangkan kepentingan negara.

“Malaysia adalah tanah air kita. Namun, sebagaimana matlamat asal kita membina Malaysia adalah untuk merubah tahap pembangunan rakyat dan bumi Sabah.

“Hari ini, iaitu tahun 2023 sempena ulang tahun 60 tahun pembentukan Malaysia, kami yakin dan percaya bahawa platform tempatan adalah yang terbaik untuk Sabah.

“Kita memilih dan memutuskan bahawa formula tempatan berupaya melonjakkan agenda perjuangan dan kepentingan negeri dalam dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita mahu pelaksanaan sistem federalisme yang lebih bernilai dan bermakna dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Atas faktor itu, kami akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menerima dan mengutamakan kepentingan Sabah.

“Apa yang lebih penting bagi kita ialah mendapat pengiktirafan dan pelaksanaan hak, kuasa serta kedudukan istimewa Sabah seperti yang termaktub dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, undang-undang yang mewujudkan Persekutuan Malaysia, iaitu MA63. Tiada Malaysia tanpa MA63,” katanya.

Katanya, rakyat Sabah bersyukur kerana kepimpinan tertinggi negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat komited untuk menunaikan tanggungjawab Putrajaya bagi melaksanakan MA63.

Jepasnya, belumpun memegang jawatan selama 100 hari tetapi sudah dapat dilihat kemajuan yang ketara.

“Kita akan terus meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membina Sabah dan Malaysia Madani yang progresif,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata beliau akan menerangkan dengan lebih terperinci hala tuju Gagasan Rakyat sempena pelancaran parti itu pada 2 Mac ini.

Gagasan Rakyat akan menubuhkan struktur organisasi parti di semua 73 DUN termasuk pembentukan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.

Mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian masing-masing telah dijadualkan pada Julai dan September, dengan Kongres Tahunan pada November.

Hajiji mengucapkan terima kasih kepada bekas presiden parti, Stephen Jimbangan dan kepimpinan parti itu atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadapnya serta kesediaannya berkorban demi kebaikan Sabah dan rakyatnya.

Beliau turut mengumumkan barisan awal Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat dengan selebihnya akan dilantik dalam masa terdekat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|