Penunggang motosikal roda tiga kemalangan masuk gaung

Penunggang motosikal roda tiga kemalangan masuk gaung

Tawau: Seorang penunggang motosikal terselamat selepas mengalami kemalangan motosikal sehingga terjunam ke dalam gaung di Kampung Tanjong Batu Darat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa berusia 36 tahun yang menaiki motosikal tiga roda itu dilaporkan terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi lebih tiga meter.

Pasukan bomba membantu mangsa yang cedera selepas motosikal beroda tiga ditunggangnya terjunam ke gaung.

Mangsa bagaimanapun dilaporkan hanya mengalami kecederaan terseliuh kaki dan terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.16 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang dilaporkan seberat 140 kilogram itu diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS ditempat kejadian.

“Mangsa kemudiannya dibawa naik menggunakan stretcher dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.43 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|