Juragan ditahan, bawa tong gas tanpa permit

Juragan ditahan, bawa tong gas tanpa permit

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seorang juragan kerana membawa muatan tong gas petroleum cecair (LPG) berisi tanpa permit di kedudukan 0.7 batu nautika utara muara Sungai Melayu, di sini, semalam.

Juragan lelaki warga tempatan berusia 22 tahun ditahan anggota Maritim Malaysia Zon Tawau yang menjalankan Ops Sejahtera Ops Pluto di kawasan berkenaan, kira-kira 6 petang.

Anggota Maritim Malaysia menahan juragan kerana membawa tong gas tanpa permit di perairan Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ketika menjalankan rondaan mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak laju dari perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan mendapati seorang lelaki tempatan bertindak selaku juragan bot membawa muatan 17 tong gas LPG 14 kilogram berisi yang dibalut dengan guni.

“Pemeriksaan ke atas dokumentasi seterusnya mendapati juragan itu gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan yang dibawa.

“Juragan, bot serta muatan ditahan dan di bawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai
keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM28,000.

“Penguatkuasaaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya di perairan Tawau.

“Maritim Malaysia memandang serius
terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi,” katanya.

Tambah beliau, sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|