Golongan belia perlu pendedahan awal ilmu pengurusan jenazah

Golongan belia perlu pendedahan awal ilmu pengurusan jenazah

Lahad Datu: Ilmu pengurusan jenazah sangat penting dan perlu didedahkan kepada umum terutama anak muda agar bila berlaku sebarang kematian dikalangan ahli keluarga terutama ibu bapa mereka tidak takut dan kekok untuk mengurus jenazah.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama, Mizma Appehdullah berkata program bengkel pengurusan jenazah sangat baik dan memberi impak positif kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya kepada golongan belia.

Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Masjid Nurul Aman Lahad Datu pada isnin.

Tambah mizma lagi, kerajaan Negeri Sabah sentiasa mengalu-alukan program sebegini dan akan sentiasa memberi sokongan dan saluran dana kepada mana-mana pihak yang menganjurkan program-program sedemikian.

“Memang sangat baik kesannya terutama pada generasi muda, mereka diberikan pendedahan bagaimana ilmu untuk pengurusan jenazah dan ini akan memberi satu impak yang besar dari sudut pemikiran mereka bagi melaksanakan proses urusan jenazah sekiranya berlaku pada ahli keluarga mereka,”kata Mizma.

Salah seorang peserta, Masdiana Amidun berkata pelbagai manfaat dan ilmu baharu yang beliau peroleh sewaktu menghadiri program berkenaan.

Masdiana menjelaskan, kini dirinya telah tahu cara memandikan dan mengkafankan jenazah serta menjadi ilmu yang boleh dipraktikkan sekiranya terdapat kematian dikalangan ahli keluarga atau sahabat handai di masa akan datang.

Tambah seorang peserta lagi, Muhd Dehya Mohd Yunus, kemahiran menguruskan jenazah bukan sahaja sebagai satu fardhu kifayah tetapi juga sebagai ilmu yang bakal dipraktikkan seumur hidup.

Manakala jelas Pengerusi Penganjur Kursus , Dr Mohd Ayub Yakub objektif kursus pengurusan jenazah ini iaitu memberi pengetahuan dan kefahaman kepada semua lapisan masyarakat agar tahu akan ilmu pengurusan fardhu kifayah seterusnya memberi pendedahan akan pentingnya asas fardhu kifayah khasnya kepada para jemaah masjid terutama golongan belia yang kurang cakna akan kepentingan kemahiran pengurusan jenazah.

Seramai 284 peserta telah mengikuti kursus ini yang mana diajarkan ilmu teori dan praktikal oleh Imam Kariah JHEINS Lahad Datu, Ustaz Haji Mohd Yunus Abu dibantu oleh Ustazah Nurhaedah Sining , Ustazah Suhaimi Abas dan Ustazah Aida Issi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|