Gagasan Rakyat memacu kestabilan politik Sabah

Gagasan Rakyat memacu kestabilan politik Sabah

KINABATANGAN: Majoriti rakyat Sabah kini semakin matang untuk menilai prestasi kerajaan negeri bagi membolehkan pembangunan yang dirancang dapat direalisasikan dengan jayanya melalui kerjasama antara kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Dayang Norhayati Titing berkata bagi membolehkan segala perancangan terlaksana, kestabilan politik yang menentukan pentadbiran kerajaan Negeri adalah amat penting.

“Pasca PRN pada tahun 2020 merupakan titik tolak kerjasama parti politik di Sabah yang berjanji untuk memfokuskan kepada kepentingan rakyat, yang dipacu dengan hala tuju pelan pembangunan Negeri oleh Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mengagaskan Pelan Sabah Maju Jaya merupakan satu manifestasi daripada kerjasama yang dibuat menjadi satu gagasan yang merupakan ‘Blue Print’ bagi melihat Negeri Sabah keluar daripada kepompong pembangunan yang tidak seimbang dan tidak menyeluruh kepada suatu pelan pembangunan yang mampan dan teratur,” katanya.

Dayang berkata demikian dalam satu kenyataan media kepada Deasoka.com pada Jumaat.

Menurut beliau, sudah pasti ia tidak akan dapat di laksanakan tanpa kerjasama dan sokongan semua pihak dan walaupun ianya akan memakan masa bagi melihat impak dan hasil nya, tetapi apa yang paling utama katanya, rakyat Sabah akan dapat merasai impak dan hasilnya di tahun-tahun yang mendatang.

“Malangnya, selepas dua tahun kerjasama politik yang terbentuk yang mana pada asasnya demi kepentingan rakyat Sabah, telah dikhianati dan berubah akibat rasa tamak pihak UMNO yang mahu menguasai pentadbiran kerajaan Negeri,”

“UMNO Sabah telah menarik sokongan dan rela menjatuhkan sendiri kerajaan yang telah dibentuk bersama merupakan satu keputusan dibuat tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang kepada Negeri dan rakyat Sabah secara keseluruhannya
,tindakan yang hanya memikirkan tentang kepentingan diri sendiri dan satu dua parti sahaja,” katanya.

Katanya, namun begitu UMNO Sabah gagal menguasai kerajaan dan sebahagian pemimpin-pemimpin utamanya sendiri kehilangan jawatan menyebabkan ahli UMNO di peringkat akar umbi juga terkena tempiasnya.

Menurut Dayang, tempoh kerajaan Negeri Sabah pada ketika ini akan berakhir pada tahun 2025, rakyat Sabah harus tahu, hanya dengan kestabilan politik yang benar-benar berasaskan kepentingan rakyat dan Negeri Sabah akan dapat memacu pertumbuhan Negeri dan membolehkan Sabah duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negeri lain.

“Kita mempunyai contoh yang terdekat bagaimana Negeri jiran kita, Sarawak yang mampu mentadbir dan menentukan hala tuju Sarawak mengikut acuan mereka sendiri kerana mempunyai kesepaduan politik yang jitu dan padu di kalangan parti tempatan di Negeri Sarawak, kita ada modul terbaik untuk diikuti, kenapa perlu lagi kita bereksperimen dengan formula yang kita tahu hasilnya kelak akan memakan diri kita sendiri, biarlah yang terjadi itu menjadi panduan dan iktibar, kita mahu terus maju ke hadapan tanpa menoleh lagi ke belakang. Rumah kita, Kita yang jaga”.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|