Dua pertiga banduan disasar kembali berintergasi bersama masyarakat

Dua pertiga banduan disasar kembali berintergasi bersama masyarakat

SANDAKAN: Jabatan Penjara Malaysia memberi sasaran dua pertiga banduan yang berada di luar kembali ke pangkuan masyarakat selepas pulih.

Pengarah Pengurusan Banduan Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Ajidin Salleh berkata, pemulihan tersebut merupakan pemulihan apabila tamat hukuman atau menjalani Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) melalui inisiatif Perintah Parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen.

Jelas beliau, sasaran tersebut adalah bagi membentuk keperibadian penghuni penjara dalam membantu mereka berintegrasi semula dalam masyarakat.

Ajidin menambah, ia mampu memberi kesedaran kepada banduan supaya mereka mudah diterima serta mengisi sebahagian daripada tenaga kerja untuk mendapatkan pekerjaan sekaligus menyumbang ekonomi negara.

“Kita mahu menyasarkan dua pertiga banduan berada di luar penjara, yang telah kita pulihkan kita bawa ke lebih awal kepada masyarakat melalui inisiatif parol juga pelepasan banduan cara lesen .

“Ini bagi membolehkan mereka mengisi sebahagian daripada tenaga kerja untuk negara kita dan yang utamanya ialah untuk mereka bekerja atau dilepaskan lebih awal bagi mendapat pekerjaan sebab bila mereka dilepaskan apa yang kita pastikan adalah pekerjaan bagi mereka dan juga tempat tinggal dan hasilnya kita mendapati bahawa di kalangan banduan yang dilepaskan awal ini kadar amat rendah iaitu 0.3 peratus, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media sejurus selepas merasmikan Program MyPride Fair peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2023 di perkarangan Harbour Mall Sandakan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ajidin berkata pihak Jabatan Penjara sentiasa mencari peluang dan ruang untuk memperkasakan program intervensi ke atas pesalah.

Sebagai contoh, katanya program bersama keluarga yang baru dibangunkan dan akan dilancarkan nanti adalah bertujuan untuk memberi nilai tambah kesedaran kepada banduan supaya mereka mudah diterima oleh keluarga terlebih dahulu sebelum diterima masyarakat.

Dalam pada itu, katanya sokongan syarikat badan korporat terhadap banduan yang ingin melanjutkan pelajaran membuktikan bahawa bidang pendidikan tidak berakhir di dalam penjara.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|