Khazanah, budaya, bangsa kita komited jaga: Hajiji

Khazanah, budaya, bangsa kita komited jaga: Hajiji

SEMPORNA: Kerajaan negeri komited untuk memastikan khazanah budaya bangsa di negeri ini terus kekal terpelihara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sehubungan itu beliau mahu tanggungjawab memastikan usaha itu digalas semua pihak yang berkaitan sama ada di peringkat kerajaan negeri, Persekutuan, persatuan etnik dan badan bukan kerajaan (NGO) melalui penganjuran program pengembangan budaya yang lebih berkesan.

“Usaha perlu dirancang dengan rapi dan dilaksanakan dengan teratur melalui penglibatan pihak berkaitan dan berkepentingan bagi memastikan khazanah budaya terus kekal relevan dan diwarisi sebagai kebudayaan yang bernilai oleh generasi akan datang.

“Dalam masa sama, kerajaan negeri juga akan terus mengekalkan dan mempertahankan seni budaya tradisi rakyat berbilang kaum di negeri ini melalui aktiviti pemuliharaan, pemeliharaan dan pengembangan seni, budaya dan warisan bangsa,”katanya sempena Majlis Perasmian Sambutan Regatta Lepa Semporna Kali Ke-28 di Dataran Regatta Lepa Semporna, di sini pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew.

Dalam pada itu beliau berkata, seni budaya tradisi rakyat berbilang bangsa di negeri ini adalah khazanah negara yang amat berharga.

“Khazanah ini juga yang akan diwariskan kepada generasi yang berikutnya, agar tidak pupus ditelan zaman, di samping menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan yang berteraskan seni budaya serta warisan.

“Justeru, sudah pasti Regatta Lepa yang berlangsung hingga Ahad ini adalah antara program yang membantu mempromosikan negeri Sabah sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan yang unggul bertaraf dunia di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini berhak mengamalkan adat dan budaya masing-masing dengan harmoni, termasuklah amalan beragama dan perayaan yang disambut.

“Oleh itu, kepelbagaian agama, budaya dan adat resam di negeri ini hendaklah dihormati dan dipelihara dengan sebaik-baiknya. Persefahaman, bertoleransi, sikap hormat-menghormati dan memahami adat budaya sesama kaum ini perlu dipertahankan demi kesinambungan pengukuhan perpaduan yang kita warisi.

“Amalan ini bukan sahaja menggambarkan perpaduan dan persefahaman malah meningkatkan lagi kemesraan antara kaum. Perpaduan jitu adalah asas kepada pengukuhan negeri Sabah sebagai sebuah negeri yang aman dan harmoni,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|