ESSCOM perhebat Operasi Bersepadu banteras PATI, jenayah di Semporna

ESSCOM perhebat Operasi Bersepadu banteras PATI, jenayah di Semporna

Semporna: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) memperhebatkan Operasi Bersepadu di daerah Semporna bagi membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta pelbagai jenayah di daerah itu.

Operasi Bersepadu yang bermula 20 hingga 23 Jun itu tertumpu ke kawasan yang telah dikenal pasti iaitu di kawasan Pekan Semporna dan kawasan setinggan Kampung Perigi, Kampung Musalah, Kampung Bangau Bangau, Kampung Sekolah Kebangsaan Pekan Dua, serta premis refleksologi Atget Enterprise dan berjaya memeriksa 74 buah rumah yang melibatkan pemeriksaan seramai 1,166 orang.

Komander Esscom, DCP Vicktor Sanjos berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada tangkapan tujuh lelaki dewasa iaitu enam di bawah kesalahan Seksyen 51(5)(b) manakala seorang lagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c).

“Selain itu, pemotongan sambungan haram elektrik oleh Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB) turut dilakukan dan berjaya merampas 45 kilogram kabel elektrik bersama 37 batang kayu pelbagai saiz dengan anggaran rampasan kira kira RM1,805.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan enam keping saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna diketuai oleh Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah mengkoordinasikan Operasi Cegah Jenayah Pondohan di kawasan perairan Sangaban.

Operasi yang yang berlangsung selama empat hari itu turut melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Pejabat Majlis Daerah Semporna, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Jabatan Perikanan, SESB, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Mahkamah Anak Negeri Semporna dengan kekuatan seramai 150 pegawai dan anggota.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|