Kota Kinabalu: Penyertaan dan permohonan keahlian yang ramai bagi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menunjukkan bahawa parti tersebut mendapat sambutan positif daripada rakyat di negeri ini.
Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, setakat ini, keahlian parti mencapai lebih 300,000 daripada 4,976 cawangan.
“Alhamdullilah, setakat ini, respon daripada rakyat di seluruh negeri Sabah adalah begitu positif dan ramai yang memohon untuk menyertai dan menjadi ahli Gagasan Rakyat,” katanya.
Terdahulu, beliau ditemui selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat yang telah dipengerusikan oleh Ketua Menteri merangkap Presiden parti, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.
Nizam turut menyeru kepada semua 73 bahagian untuk bersiap sedia memperkemas jentera parti bagi berdepan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, parti itu akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus dalam usaha menangani pelbagai masalah di negeri ini.
Selain itu, katanya, mereka turut komited dalam menuntut hak rakyat Sabah berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
-Deasoka