Kinabatangan: Dua penunggang motosikal maut selepas dipercayai bertembung sesama sendiri dalam kejadian di Jalan Kertam Lot M, di sini, malam tadi.
Kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti identiti mereka dilaporkan menunggang motosikal jenis Yamaha LC dan Yamaha 125Z.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu jam 10.01 malam.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke tempat kejadian.
“Terdapat dua mangsa terbabit kemalangan ini yang mengalami kecederaan parah.
“Kedua-dua mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan seterusnya diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan dijalankan di sekitar lokasi memastikan tiada bahaya lain.
“Operasi ditamatkan pada 12.40 tengah malam,” katanya.
-Deasoka