7 ADUN UMNO temui Hajiji malam tadi

7 ADUN UMNO temui Hajiji malam tadi

Kota Kinabalu: Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah menemui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di kediamannya, di sini, malam tadi.

Pertemuan yang diketuai Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan itu berlangsung selepas perjumpaan pemimpin UMNO negeri di Bangunan UMNO Sabah, petang semalam.

Hajiji (tengah) dan Ariffin (kanan) pada perjumpaan bersama ADUN UMNO Sabah di Kota Kinabalu, malam tadi.

Perkara itu dikongsikan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Arif yang turut hadir pada perjumpaan berkenaan.

“ADUN UMNO diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Yakub Khan berkunjung silaturahmi kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Ketua Menteri di kediaman beliau,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook beliau.

Antara ADUN UMNO yang hadir pada perjumpaan itu ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Hamsan Ag Supain (Sungai Sibuga).

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk James Ratib (Sugut); Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Harun Durabi (Bengkoka); Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); dan Datuk Raimie Unggi (ADUN Dilantik).

Petang semalam, semua ADUN UMNO Sabah diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin berkumpul di Bangunan UMNO Sabah, di sini, ketika timbul spekulasi mengenai pertukaran tampuk kerajaan negeri melalui kerjasama Parti Warisan (WARISAN) dan UMNO Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Ariffin yang juga Bendahari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata sebelum pertemuan dengan pemimpin UMNO itu, Hajiji turut menemui ADUN GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah pada Majlis Ramah Mesra Tahun Baharu 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

“Terdahulu petang tadi (semalam) YAB DSP (Datuk Seri Panglima) Hajiji Noor menghadiri Majlis Ramah Mesra Tahun Baharu 2023 bersama semua ADUN GRS dan PH yang menyatakan sokongan tak berbelah bahagi kepada kepimpinan YAB DSP Hajiji Noor,” katanya.

Berdasarkan perkongsian di laman Facebook Hajiji, perjumpaan bersama ADUN PH dan GRS itu turut membincangkan usaha dan rancangan membangunkan Sabah pada tahun ini.

“Berkesempatan meluangkan masa bersama sebahagian besar rakan-rakan dalam kerajaan negeri sambil membincangkan usaha serta perancangan membawa negeri Sabah ke tahap yang lebih baik pada 2023 ini.

“Insyaallah semuanya akan tercapai dengan kerjasama, kestabilan, perpaduan dan kesepakatan kita semua,” katanya dalam perkongsian berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|