Beaufort: Semua pemimpin akar umbi dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa memberikan kerjasama untuk membangunkan Sabah khususnya di kawasan Parlimen Beaufort.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching, berkata, ia termasuklah Ketua Cawangan UMNO dan Ketua Pusat Daerah Mengundi.
Katanya, semua pemimpin akar umbi dialu-alukan memberi sumbangan berbentuk padangan dan cadangan bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan ini.
“Sokongan semua pihak amat penting dalam usaha Kerajaan Perpaduan yang baru dibentuk di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus membangunkan negara bagi memulihkan kestabilan politik dan ekonomi termasuk di negeri ini selaras dengan slogan kerajaan negeri Sabah Maju Jaya.
“Rakyat telahpun membuat pilihan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini yang akhirnya membentuk Kerajaan Perpaduan dan sekarang masa untuk kita sama-sama membina negara dan kerajaan dengan hala tuju jelas serta usaha menunaikan manifesto,” katanya pada Majlis Ramah Mesra UMNO 4 peringkat bahagian Beaufort di Gem Hotel, dekat sini, semalam.
Hadir Sama Ketua UMNO Beaufort, Datuk Awang Asli Lakat; Setiausaha UMNO Beaufort, Abdul Rahman Taib dan Ahli Jawatankuasa Bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Beaufort.
Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kepimpinan parti dan rakan-rakan seperjuangan dalam kepimpinan cawangan dan Pusat Daerah Mengundi adalah pemimpin terdekat akar umbi.
Katanya, mereka yang terdiri daripada pelbagai lapisan golongan profesional dan ahli perniagaan sudah tentu lebih memahami aspirasi rakyat yang mengharapkan pembelaan dari segi pembangunan dan kesejahteraan kehidupan.
“Kerajaan dan saya sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat sentiasa mengalu-alukan sumbangan anda menerusi kepakaran dalam bentuk idea, cadangan dan teguran,” katanya.
Menurutnya, masa telah tiba untuk semua pihak berganding bahu memajukan Sabah dari segi pembangunan, ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Semantera itu, Aminah yang juga Ketua Wanita UMNO Beaufort mengakui sokongan dan kerjasama sepenuhnya dalam barisan kepimpinan UMNO bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri dalam memastikan kemenangan beliau pada PRU15 baru baru ini.
“Saya akui semangat serja kerja keras yang dilakukan ketika kita berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah cabaran sesama sendiri namun dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh jentera utama, parti kita berjaya meletakkan semula Parlimen Beaufort tetap diwakili oleh BN.
“Kita ketepikan cerita politik, kerajaan hari ini lebih melihat ke hadapan untuk membangunkan negeri.
“Setiap pemimpin mempunyai aspirasi yang sama untuk memajukan negeri ini justeru sebagai pemimpin dalam kerajaan, saya mengamalkan pintu terbuka untuk mendengar segala pandangan dan cadangan positif yang boleh membawa kebaikan kepada negeri dan rakyat khususnya di kawasan ini,” katanya.
Terdahulu, Awang Asli berkata sebahagian mereka yang hadir atau tidak dapat bersama dalam majlis itu adalah pejuang tulin dan sejati tanpa mengira penat lelah bekerja bagi memastikan kemenangan BN di Parlimen Beaufort.
“Saya yakin Ahli Parlimen kita tidak akan melupai jasa dan sumbangan anda semua. Kita berikan peluang kepada beliau untuk berbakti kepada rakyat khususnya di kawasan ini di samping kita terus memperkukuhkan kerjasama untuk membantu beliau melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan ini,” katanya.
-Deasoka