Bung Moktar letak jawatan Presiden SAFA

Bung Moktar letak jawatan Presiden SAFA

Kota Kinabalu: Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berkuatkuasa serta merta selepas memegang tampuk pentadbiran badan induk itu sejak Jun 2021.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, perletakan jawatan itu dibuat atas kerelaan dirinya selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya politik .

Datuk Seri Bung Moktar Radin

Katanya, walaupun mengakui sedikit rasa kecewa dengan pencapaian turun naik Sabah FC namun berpuas hati dengan pencapaian pasukan sepanjang mengetuai badan induk bola sepak berkenaan.

“Pasukan SAFA FC berupaya melakukan perubahan dalam pencapaian selain pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan.

“Saya tetap gembira kerana sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran SAFA dan beberapa kejayaan pasukan Sabah FC walaupun ianya masih ditahap yang masih belum memuaskan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Bung berkata, mengurus badan induk bola sepak khususnya pasukan Sabah FC memerlukan sokongan serta dokongan dari semua pihak terutamanya dari peneraju utama kepimpinan negeri.

Katanya, ia memerlukan kesungguhan untuk membantu SAFA khususnya pasukan Sabah FC melangkah lebih jauh ke hadapan.

“Surat perletakan jawatan secara rasmi juga akan dihantar kepada Setiausaha Agung SAFA dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan.

“Sejak mengambil alih tampuk pentadbiran SAFA, tiada sebarang agenda peribadi selain berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi kekangan waktu dan sumber kewangan untuk memajukan mutu serta pencapaian sukan bola sepak di negeri ini.

“Menjadi harapan saya dan semua peminat yang selama ini menyanjung tinggi pasukan bola sepak Sabah agar terus memberikan sokongan kepada pengganti saya ,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|