Bukan cubaan culik, polis gesa orang ramai tidak sebar ‘posting’ tular

Bukan cubaan culik, polis gesa orang ramai tidak sebar ‘posting’ tular

PENAMPANG: Polis menafikan sebuah kenyataan tular yang dimuat naik pengguna di laman sosial berhubung insiden cubaan culik kanak-kanak, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superitenden Sammy Newton berkata, pihaknya menegaskan tiada sebarang jenayah cubaan culik kanak-kanak di sebuah pasaraya seperti ditularkan sebaliknya ianya adalah fakta yang bercanggah dengan keterangan pengadu.

“Kita mengesahkan bahawa pada 7 Disember lalu, satu laporan telah diterima mengenai dakwaan seorang kanak-kanak telah ditarik di bahagian lengan oleh seorang individu tidak dikenali ketika berjalan di sebuah pasaraya berhampiran Penampang, pada 6 Disember.

“Hasil siasatan lanjut, polis mendapati ketika kejadian pengadu berada di sebuah kedai mencari barang dan salah seorang daripada tiga anaknya yang berada di belakang tiba-tiba menjerit dan pengadu mendapati ada seorang wanita tidak dikenali berhampiran anaknya.

“Namun demikian, hasil soal siasat terhadap pengadu, pihak polis mendapati tidak terdapat unsur-unsur jenayah seperti didakwa oleh seorang individu yang memuatnaik posting di Facebook mengenai cubaan culik seorang kanak-kanak yang tular di platform media sosial, baru-baru ini, “katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan kenyataan ‘posting’ berkenaan bagi mengelakkan salah faham sehingga menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat awam.

“Mana-mana individu yang didapati menyebarkan mengenai berita palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi denda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|